MENTERI Kewangan Jepun, Taro Aso mengulangi pendiriannya enggan letak jawatan biarpun berdepan dakwaan kementeriannya mengubah dokumen bersabit penjualan sebidang tanah milik kerajaan kepada sebuah sekolah swasta yang ada kaitan dengan isteri perdana menteri, lapor NHK.
Katanya, beliau tidak perlu letak jawatan sebaliknya menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua mencari punca kesilapan dan memastikan ia tidak berulang.
Kementeriannya awal minggu ini mengaku meminda 14 dokumen berkaitan jualan kontroversi itu sebelum dokumen berkenaan diserahkan kepada ahli parlimen yang menyiasat dakwaan Perdana Menteri Shinzo Abe mempengaruhi urus niaga tersebut. Tanah itu dijual pada diskaun sehingga 85%.
Aso bagaimanapun tidak akan menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Buenos Aires, Argentina minggu depan untuk menyelesaikan krisis politik ini.
Krisis ini menyulitkan usaha Abe mendapatkan sekali langi mandat menerajui Parti Liberal Demokratik (LDP) pada pemilihan parti September ini.
Abe menafikan dakwaan beliau atau isterinya terlibat dalam jualan lebih rendah daripada harga pasaran itu.
Aso juga menafikan beliau mengeluarkan arahan supaya dokumen urus niaga itu dipinda, yang menghapuskan segala rujukan pada Abe, isterinya dan menteri kewangan itu.
Seorang pegawai Kementerian Kewangan minggu ini dilaporkan bunuh diri kerana tekanan perasaan selepas dipaksa menulis semula rekod urus niaga tanah berkenaan, lapor NHK. Lelaki berusia lingkungan 50 tahun itu meninggalkan nota bunuh diri mengatakan dia mungkin dipaksa jadi kambing hitam dalam isu ini.
Keluarga pegawai kerajaan itu berharap kematiannya tidak sia-sia dan akan mendedahkan kebenaran, menurut Mainichi Shimbun.
Abe sebelum ini berkata beliau akan letak jawatan sekiranya terbukti beliau dan isteri terlibat secara peribadi dalam penjualan tanah itu.– 17 Mac, 2018.
Komen