RUSIA akan menempatkan senjata nuklear taktikal di negara jiran dan sekutunya Belarus sebagai tindak balas terhadap sokongan Barat kepada Ukraine, kata Presiden Vladimir Putin semalam.
Putin sebelum ini memberi amaran Moscow mungkin akan menggunakan senjata nuklear di Ukraine jika Rusia diancam, sekali gus mencetus kebimbangan semasa era Perang Dingin.
Presiden itu malah berkata Rusia akan menggunakan peluru uranium jika Kyiv menerima senjata dari Barat, susulan kesediaan Britain untuk membekalkan senjata kepada Ukraine.
Langkah untuk menempatkan senjata nuklear taktikal ke Belarus bukanlah “sesuatu yang luar biasa”, katanya.
“Amerika Syarikat (AS) lakukannya selama beberapa dekad. AS sudah lama menempatkan senjata nuklear taktikal di wilayah sekutu mereka,” kata presiden itu dalam satu rancangan temubual di televisyen Rusia.
Menurut Putin beliau sudah pun menghubungi Presiden Belarus Alexander Lukashenko, dan kedua-dua pemimpin itu telah menncapai kata sepakat.
Tambahnya, Rusia juga telah membantu melengkapkan 10 pesawat Belarus dengan sistem Iskander yang boleh membawa senjata nuklear.
Tentera Belarus akan mula dilatih cara menggunakan sistem Iskander pada 3 April dan menyasarkan untuk menyiapkan pembinaan kemudahan penyimpanan khassenjata nuklear taktikal menjelang 1 Julai.
Putin selain itu menegaskan Rusia akan bertindak balas jika negara-negara Barat membekalkan Ukraine dengan peluru uranium. – AFP, 26 Mac 2023.
Komen