HONDURAS pada Sabtu mengumumkan yang ia memutuskan hubungan diplomatik dengan Taiwan, 11 hari selepas mengumumkan hasrat mewujudkan hubungan diplomatik dengan China.
Menteri Luar Enrique Reina berkata selepas menerima arahan daripada Presiden Xiomara Castro, beliau “sudah memaklumkan kepada Taiwan keputusan untuk menamatkan hubungan diplomatik,” kata kenyataan kementerian.
Pengumuman itu berlaku dua hari selepas lawatan Reina ke Beijing untuk membincangkan ikatan diplomatik dua hala.
China berpandangan Taiwan yang mempunyai pentadbiran demokratik sendiri sebahagian daripada wilayahnya yang akan diambil semula pada masa hadapan, walaupun terpaksa menggunakan kekerasan.
Awal bulan ini Castro mengarahkan Reina untuk mewujudkan hubungan diplomatik dengan China, langkah yang akan memutuskan hubungannya dengan Taiwan.
“Kerajaan Republik Honduras mengiktiraf kewujudan hanya satu China di dunia, dan kerajaan Republik China satu-satunya kerajaan sah yang mewakili keseluruhan China,” kata Kementerian Honduras pada Sabtu.
“Taiwan bukan wilayah asing China,” katanya.
“Setakat tarikh ini (kenyataan dikeluarkan) kerajaan Honduras sudah memaklumkan Taiwan tentang pembatalan hubungan diplomatik dan komited untuk tidak lagi berhubungan secara rasmi dengan Taiwan,” tambahnya. – AFP, 26 Mac, 2023.
Komen