TURKIYE menghentikan eksport minyak dari wilayah autonomi Kurdistan di Iraq pada Sabtu susulan keputusan timbang tara Mahkamah Perdagangan Antarabangsa, kata kementerian minyak Iraq.
“Turkiye sudah memaklumkan kepada pihak berkuasa Kurdistan Iraq untuk menghentikan import,” kata Assem Jihad, jurucakap kementerian kepada AFP.
Pegawai Iraq yang menyelia eksport di pelabuhan Ceyhan di Turkiye memaklumkan yang pam berhenti pada “12:35 pm (0935 GMT) 25 Mar 2023”, menurut dokumen yang disahkan benar oleh jurucakap.
Tiada pengesahan dikeluarkan pihak berkuasa Turkiye.
Baghad berkata tribunal timbang tara Mahkamah Perdagangan Antarabangsa di Paris menerima tuntutan Baghdad dalam pertikannya dengan Ankara tentang siapa yang bertanggungjawab dalam mengeksport minyak wilayah autonomi itu.
Iraq pada 2014 memulakan prosiding terhadap negara jirannya, Turkiye, menuntut hak ekslusif terhadap eksport minyak Kurdistan.
Dalam tindakan mencabar Baghdad, kerajaan wilayah autonomi itu di Arbil terus mengeksport minyak menerusi Turkiye pada kadar sekitar 450,000 tong sehari.
Kementerian minyak Iraq berkata tribunal timbang tara di Paris mengeluarkan penghakiman yang Organisasi Pemasaran Minyak Negara di Baghdad “adalah satu-satunya pihak diberi kuasa untuk menguruskan eksport”.
Perdana Menteri Kurdistan Masrour Barzani berkata pada Sabtu yang perwakilan mewakili kerajaannya “akan melawat Baghdad untuk berunding esok (Ahad)”.
Menerusi Twitter, beliau berkata yang wujud “hasrat baik”dalam rundingan dengan kerajaan pusat, walaupun kehilangan hak untuk bebas mengeksport minyak boleh menjejaskan autonomi wilayah itu.
Minyak adalah topik sensitif dalam hubungan Baghdad dan Arbil, ia adalah sumber perolehan utama kedua-dua kerajaan.
Kerajaan Kurdistan berpandangan yang Baghdad cuba meraih keuntungan daripada sumber wilayah itu, manakala kerajaan Iraq pula berhujah yang ia berhak ke atas semua pengeluaran minyak di negara itu.
Iraq, pengeluar kedua terbesar dalam Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (Opec) mengeksport secara purata 3.3 juta tong minyak setiap hari. – AFP, 26 Mac, 2023.
Komen