Imam Mahdi dalam Syair Kiamat (1864)


Faisal Tehrani

SELAIN Hikayat Kiamat (1858) yang tersimpan di Perpustakaan Nasional Republik Indonesia, terdapat sebuah lagi teks sastera tradisional yang memperihalkan peristiwa hari akhir iaitu kiamat. Teks bahasa campuran Arab-Melayu yang ditulis dengan menggunakan skrip Jawi itu berjudul ‘Syair Kiamat’ dan dipercayai dikarang dalam tahun 1864. 

Hal ini tentulah menarik kerana terdapat pertanyaan apakah mungkin kedua-dua buah teks ini saling berhubungan kerana ia ditulis pada waktu yang sangat hampir. 

Saya sudah pun menulis serba sedikit mengenai ‘Hikayat Kiamat’ dalam sebuah karangan lain.

Terdapat penyataan umat manusia di hari akhirat kelak akan memerlukan syafaat atau bantuan daripada puterinya Rasulullah SAW, Fatimah Zahra yang akan memberi perlindungan kepada ‘kaumnya’.

‘Syair Kiamat’ (1864) ini dipercayai dikarang oleh penyair dalam pelayaran dari Trengganu ke Singapura oleh seorang yang disebut sebagai ‘Encik Husin, orang Bugis yang tinggal di Keling’. 

Menurut Yunita Dewi Septiana dalam penyelidikan sarjananya bertajuk ‘Risalah Kiamat: Kajian Filologis dan semiotik Terhadap Naskah Syair Kiamat’, ‘Syair Kiamat’ (1864) ini kemudian disalin dan dicetak oleh Salim bin Saad bin Nabhany dan saudaranya Ahmad di Surabaya di mana mereka adalah pemilik ‘perpustakaan al-Nabhaniah al-Kubra di Surabaya’. 

Nama rumah penerbitan atau percetakannya adalah Mathba’ah Istambul. Ia menjelaskan kepada kita mengapa naskah ini hanya ditemukan di Indonesia dan tidak pernah didengari di Malaysia. Salah satu versi ‘Syair Kiamat’ ini ada tersimpan di Palembang iaitu di Perpustakaan Fakulti Adab IAIN Raden Fatah Palembang.

‘Syair Kiamat’ (1864) ini mengandungi pelbagai peristiwa berkaitan Hari Kiamat, sebagai contoh tanda-tanda Kiamat mendekat, proses dan prosedur di Padang Mahsyar, keadaan kita kelak ketika dikumpulkan di Padang Mahsyar itu, penyertaan ke syurga dan neraka juga aneka golongan manusia yang dihisab berdasarkan amalnya. 

Secara bandingan tidak terdapat banyak beza antara ‘Hikayat Kiamat’ (1858) dan ‘Syair Kiamat’ (1864) dari segi ajaran tauhidnya. Ajaran mengenai Rukun Iman yang penting untuk orang Islam iaitu kepercayaan kepada hari kiamat dan akhirat itu memang menuruti perbincangan teologis dalam aspek ilmu eskatologi. 

Pun, tanda penting dalam ‘Hikayat Kiamat’ (1858) yang akan dapat memberikan bantuan di hari akhirat kelak hanyalah Fatimah Zahra, disambut dengan aspek Imam Mahdi dalam ‘Syair Kiamat’ (1864). Inilah peri penting dan perbezaan yang jelas terlihat dalam ‘Syair Kiamat’ (1864). 

Penyair dalam teks ini berperi menukilkan:

‘Sekalian negeri semuanya kalah,

Mukmin terbunuh pun banyaklah;

Fasal pertama dibangkitkan dia,

Imam Mahdi keluar ke dunia.’

 

Perhatikan penggunaan kata ‘bangkit’ dan ‘keluar ke dunia’ dalam bait di atas untuk merujuk Imam Mahdi. Terdapat persamaan dengan Imam Mahdi yang diutarakan oleh seorang ulama Ahli Sunnah wal Jamaah alam Melayu yang terkenal dalam abad ke-18 ialah Muhammad Arsyad al-Banjari. 

Muhammad Arsyad lahir pada 17 Mac 1710 dikenali sebagai sahabat baik kepada seorang lagi ulama Nusantara, Syeikh Abd al-Samad al-Palimbani. Mereka berdua adalah pengikut tarekat al-Khalwatiyah. Salah sebuah kitab beliau yang terkenal ialah ‘al-Qawl al-Mukhtasar fi’ Alamat al-Mahdi al-Muntazar’. 

Sebagai seorang Sunni, karangan al-Banjari ini memuatkan pencirian Imam Mahdi seperti yang dipegang oleh fahaman Syiah. 

Saya ada menuliskan bagaimana Al-Banjari merujuk al-Mahdi sebagai ‘al Muntazar’ atau Imam Mahdi yang dinanti-nanti akan dia. Ia merupakan gelaran Imam Mahdi yang dilazimi oleh pengikut mazhab Syiah.

Imam Mahdi juga dirujuk sebagai sudah pun lahir dan dinantikan agar zahir atau menjelma semula. Menurut al-Banjari “maka pada sepuluh hari bulan Muharam zahirlah Imam Mahdi seperti yang berdahulu perkataan atasnya.”

Hal ini sangat menarik untuk diperhatikan memandangkan masyarakat Syiah percaya dan mengimani Imam Mahdi lahir pada 15 Sha‘bān 255 AH bersamaan 869 Masihi. Dalam erti kata lain, Imam Mahdi sudah lahir dan masih hidup sementara menanti masa kemunculan semula. Penganut Sunni pula rata-rata mempercayai Imam Mahdi belum lahir.

Penggunaan kata ‘bangkit’ dan ‘keluar ke dunia’ dalam bait Syair Kiamat (1864) untuk merujuk Imam Mahdi adalah jelas merujuk kepada Imam Mahdi yang sama disebut oleh al-Banjari iaitu yang sudah lahir dan masih hidup, dinanti-nantikan atau al muntazar; justeru akan ‘dibangkitkan’ atau ‘keluar ke dunia’. Jika Imam Mahdi belum lahir tentulah ia akan dirujuk sebagai insan yang bakal dilahirkan dalam teks di atas.

Syair Kiamat (1864) seterusnya memperihalkan tugas atau peranan Imam Mahdi iaitu menjadi seorang pemimpin yang membawa keadilan dan membinasakan negeri yang menolak keadilan:

‘Menjadi raja sangatlah mulia,

Membinasakan negeri yang tiada percaya;

Dua puluh tahun menjadi raja,

Lama di dunia itulah sa[ha]ja.’


‘Membinasakan kafir itulah kerja,

Senantiasa hari itulah sa[ha]ja;

Negeri Syam pertama dialihkan,

Berapa negeri yang ditaklukkan.’

 

Bait di atas hendaklah dimengertikan dengan rapi. Penggunaan kata kafir dalam ‘Syair Kiamat’ (1864) ini bukanlah merujuk kepada orang bukan Islam akan tetapi ia juga merangkumi orang Islam itu sendiri. Pada halaman 26 syair dinyatakan: ‘Kafir Islam sama sekutu, yang berdosa besar mereka itu’. 

Dalam erti kata lain yang dimaksudkan dengan ‘kafir’ ialah mereka yang tidak percaya dan berdosa.

Juga amat menarik pengarang syair ini menyebutkan perlawanan pertama ialah di negeri Syam. Harus diingatkan Syam mempunyai kepentingan tertentu dalam sejarah Islam. Ia adalah negeri pertama yang beroleh raja iaitu Muawiyah dari dinasti Umaiyyah dan Syam adalah faksi anti keluarga Nabi Muhammad saw zaman berzaman. 

Syam adalah tempat yang tidak percaya kepada wewenang ahlul bait atau warisan Rasulullah saw yang sah iaitu yang terakhir kelak adalah Imam Mahdi. Datuk atau moyangnya Imam Mahdi iaitu Saidina Hussein dibunuh di Karbala di tangan penguasa Syam iaitu Yazid.

Peranan seterusnya Imam Mahdi adalah membebaskan Palestin dan melawan Dajal. Tentera Dajal ini ditewaskan Imam Mahdi dan kita dituntut untuk berdoa siang dan malam agar Imam Mahdi muncul dan memberi keadilan ke seluruh pelusuk dunia.

 

‘Dengan kehendak Tuhan yang sedia,

Ke Baitul Maqdis hampirlah ia;

Mahdi keluar mendatangi dia,

Dajjal melawan tiada berdaya.’


‘Seperti bara rupanya muka,

Dikejar Mahdi, pecah belaka;

Minta doa segalanya Islam,

Senantiasa siang dan malam.’

 

Perjuangan Imam Mahdi itu tidaklah mudah dan baginda akan beroleh bantuan atau pertolongan daripada Nabi Isa al-Masih yang akan menjadi titik pertemuan antara orang yang beriman dalam agama Islam dan agama Nasrani. 

Perlu diingatkan kembali kata ‘kafir’ yang digunakan dalam naskah ini berbeza dengan cara faham hari ini iaitu orang kafir ialah mereka yang bukan Islam.

 

‘Kepada Tuhan Khāliq al‘ālam 

Memohonkan bantu kepada seru alam;

Suara lagi langit berbunyilah,

Kepada Islam demikianlah.’

 

‘Hai Islam ketahui pula,

Datanglah bantu daripada Allah;

Inilah fasal suatu masa,

Baitul Maqdis hampir binasa.’

 

‘Lalulah turun Nabi Allah Isa,

Tujuh puluh ribu malaikat perkasa;

Lasykar Dajal banyaklah mati,

Dibunuh Isa berpuluh keti.’

Insiden perlawanan untuk Baitul Maqdis mempunyai kepentingan tersendiri dalam kedua-dua agama langit iaitu Islam dan Nasrani, maka tidaklah menghairankan kehadiran Imam Mahdi dan Nabi Isa bahu-membahu menentang musuh mereka kelak dihadirkan dalam teks ini.

Teks Syair Kiamat (1864) diteruskan dengan naratif mengenai pengadilan di Padang Mahsyar, syafaatnya Nabi Muhammad SAW dan keadaan dua belas kaum yang berdepan pelbagai kondisi tatkala dinilai.

‘Inilah fasal suatu cerita,

Daripada hadits dikeluarkan nyata;

Apabila kiamat sudahlah nyata,

Berhimpun di Mahsyar makhluk semata.’

 

‘Dua belas kaum dikeluarkannya,

Dibangkitkan Allah daripada kuburnya;

Masing-masing atas kadarnya,

Menerima balas daripada perbuatannya.’

 

Akan tetapi, dalam banyak-banyak kaum itu; hanya kaum keduabelas sahaja yang diberi ganjaran baik dan dibangkitkan dari kematian dengan kebaikan:

‘Dibangkitkan Allah kaum Keduabelas,

Daripada kuburnya memakai antelas;

Itulah orang beroleh balas,

Mukanya seperti bulan empat belas,

Cahayanya muka gilang-gemilang,

Seperti dia di dalam balang,

Eloknya buka alang-kep[s]alang

Ke dalam surga syahadat pul[y]ang.’

 

‘Syair Kiamat’ (1864) ini merupakan satu lagi permata berharga dalam kesusasteraan tradisional Melayu yang juga bahagian dari Sastera Kitab. Malangnya naskah atau teks sebegini sudah tidak lagi dipugar oleh generasi baharu. Genre syair juga sudah tidak diminati oleh penyair dan pengarang muda kita. 

Dalam konteks kesusasteraan tradisional, pengabaian naskah seperti Syair Kiamat ini mengakibatkan banyak inti pati yang berguna terkubur sama termasuklah aspek-aspek berhubungan dengan Sang Penyelamat akhir untuk kemanusiaan kelak iaitu Imam Mahdi yang ditunggu-tunggu ketibaannya kembali.

Imam Mahdi akan kembali khusus untuk membantu manusia dan umat yang tertindas lagi teraniaya. – 26 Mac, 2023.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen