Tidak perlu ugut, ketua Pemuda Bersatu beritahu Guan Eng


Semalam Wan Fayhsal dan Pemuda Bersatu membuat laporan polis di Dang Wangi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac, 2023.

TIDAK perlu Lim Guan Eng meloncat hingga mengugut susulan laporan polis yang dibuat Pemuda Bersatu terhadapnya dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata Ketuanya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Fayhsal juga berharap Guan Eng akan mematuhi undang-undang apabila menuduh orang lain.

“LGE datang ke balai polis siap dengan banner (kain rentang) ‘Muhyiddin Fitnah’ apabila membuat laporan polis (terhadap Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin). LGE juga menyebarkan laporan polisnya.

“Ini suatu perkara yang direncanakan untuk tujuan propaganda DAP kerana LGE terkesan dengan apa yang saya katakan,” katanya pada catatan di Facebook, hari ini.

Sebelum ini Guan Eng dilaporkan mengingatkan Wan Fayhsal membuat laporan polis palsu merupakan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Semalam Wan Fayhsal membuat laporan polis terhadap pengerusi DAP dan Anwar berkait kes status pengecualian cukai yang diberikan kepada Yayasan Albukhary.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata Wan Fayshal bukan sahaja melakukan kesalahan jenayah dengan membuat laporan palsu malah turut tidak menghormati prosiding Parlimen.

Dalam pada itu Wan Fayhsal berkata laporan polsi yang dibuat Armada semalam jelas dan tidak mengelirukan.

“Tidak perlu lah LGE nak mengugut saya. Saya yakin apa yang saya cakapkan dan akan mempertahankan pemimpin saya yang dianiayai. DAP dah tidur sekatil dengan Umno jadi biarlah ‘strange bed fellows’ ini dengan asmara politik mereka.

“Umno dan DAP akan dihukum dalam enam pilihan raya negeri nanti. Kita tunggu dan lihat. Sementara itu janganlah main kotor!,” tulisnya. – 25 Mac, 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen