Warga emas disiasat halang anggota MBPJ jalankan tugas


Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan menjalankan siasatan secara terperinci kes melibatkan anggotanya yang didakwa mendera seorang warga emas semasa operasi menangkap anjing.– Gambar Facebook, 25 Mac, 2023.

SEORANG warga emas yang didakwa dikasari oleh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan semasa operasi menangkap anjing liar kini disiasat kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Fakhrudin Hamid berkata polis menerima laporan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bahawa lelaki itu membenarkan anjing liar masuk ke dalam premisnya dan menutup pintu pagar.

Beliau berkata pihak penguat kuasa sedang menjalankan operasi membanteras anjing liar berikutan aduan orang ramai.

“Akibatnya, pegawai tidak dapat menjalankan tugas rasmi mereka untuk menangkap anjing liar. Dalam pergelutan yang berlaku, lelaki itu cedera selepas secara tidak sengaja terkena alat yang digunakan untuk menangkap anjing liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata warga emas itu juga turut membuat laporan polis.

Fakhrudin berkata polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Seksyen 323 adalah kerana mendatangkan kecederaan manakala Seksyen 186 untuk menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Semalam tular di media sosial video yang memaparkan kejadian di Taman Kanagapuram yang dirakam kamera pengawasan dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu.

Beberapa video kelihatan menunjukkan penguat kuasa memukul lelaki itu dengan alat penangkap apabila dia cuba menghalang mereka daripada memasuki premisnya yang terdapat beberapa anjing liar.

Satu lagi video memaparkan warga emas terbabit mendakwa dirinya ditumbuk di leher dan mengalami kecederaan di lengan.

Selepas itu, berikutan bantahan orang ramai, MBPJ berkata ia berhasrat untuk menyiasat secara terperinci kes melibatkan anggotanya yang didakwa menyerang seorang warga emas semasa operasi menangkap anjing.

“Kami ingin menegaskan bahawa tidak akan ada kompromi dalam kes ini atau (cubaan) melindungi mana-mana kakitangan majlis jika benar dan terbukti mereka melakukan kesalahan itu.

“Kami juga telah menubuhkan jawatankuasa penyiasat dalaman untuk menyiasat insiden itu, dan ia sedang berjalan,” katanya. – 25 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen