Dunia perlukan Kanada, AS bekerja bersama-sama, kata Biden 


Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyambut baik hubungannya dengan Kanada.– Gambar EPA, 25 Mac, 2023.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyambut baik hubungannya dengan Kanada kerana masyarakat antarabangsa memerlukan kedua-dua negara ini untuk bekerjasama, lapor Agensi Anadolu. 

Berucap di parlimen Kanada pada Jumaat, Biden yang memperakui hubungan antara Washington dan Ottawa, berkata kedua-dua negara jiran itu bekerja rapat untuk menangani pelbagai cabaran akibat perang Rusia di Ukraine selain penghijrahan dan ketidakstabilan di Haiti.

“Dunia memerlukan Kanada dan AS bekerjasama dengan rakan kongsi kami di seluruh dunia untuk mengambil tindakan global yang kukuh dan berkesan,” kata Biden.

Mengenai Ukraine beliau berkata dunia perlu bersatu untuk bertindak balas ke atas pencerobohan kejam Rusia terhadap Ukraine.

“Kami berdiri bersama untuk mempertahan kedaulatan, demokrasi, kebebasan untuk diri kita sendiri dan untuk semua,” katanya.

Mengenai ketidakstabilan yang berterusan di Haiti, Biden berkata AS dan Kanada bekerjasama untuk mencari jalan untuk melindungi keselamatan, bantuan kemanusiaan dan mengukuhkan kestabilan Haiti.

Sementara itu, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkata sempadan yang memisahkan kedua-dua negara menjadi tempat pertemuan dan bukannya garis pemisah.

“Sempadan kita bukan lagi sekadar menjadi tempat untuk kita bertemu…Ia adalah tempat untuk kita bertemu pada masa depan, iaitu masa depan yang cerah bukan sahaja dengan pekerjaan yang baik, malah kerjaya yang stabil untuk generasi akan datang,” katanya.

NASA dijadual mengumumkan misi Artemis II yang akan membawa seorang angkasawan Kanada ke angkasa lepas dan mengelilingi bulan sebelum kembali ke Bumi bersama tiga angkasawan Amerika, kata Biden.– Bernama, 25 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen