Puluhan ribu umat Islam solat di Al-Aqsa pada hari pertama Ramadan


Orang ramai menunaikan solat Jumaat pertama dalam bulan Ramadan tahun ini, di perkarangan masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis. – Gambar AFP, 25 Mac, 2023.

PULUHAN ribu jemaah menghadiri solat Jumaat di perkarangan masjid Al-Aqsa Baitulmaqdis, yang pertama pada bulan suci Ramadan, kata wartawan AFP, di tengah-tengah ketegangan memuncak di rantau itu.

Pihak berkuasa berkata solat di tapak ketiga paling suci Islam itu berlalu dengan aman walaupun terdapat kebimbangan mengenai peningkatan keganasan baru-baru ini dalam konflik Israel-Palestin.

Perkarangan masjid di Kota Lama Baitulmaqdis timur yang dijajah Israel sebelum ini menyaksikan pertempuran dan keganasan antara rakyat Palestin dan Israel, terutamanya semasa Ramadan.

Azzam al-Khatib, ketua majlis hal ehwal Islam Wakaf Jordan yang mentadbir perkarangan itu, memberitahu AFP “solat berjalan dengan aman dan semuanya berjalan lancar.”

Pegawai Israel menganggarkan jumlah jemaah lebih 80,000 manakala Wakaf berkata 100,000 menghadiri solat Jumaat itu.

Polis Israel berkata ia mengerahkan 2,300 pegawai di seluruh bandar untuk hari itu.

Orang ramai berpusu-pusu melalui pintu masuk Bab al-Silsilah ke perkarangan itu dengan sejadah di tangan, manakala beberapa orang bergambar di hadapan Dome of the Rock yang ikonik.

Jurugambar AFP melihat seorang lelaki bertopeng mengibarkan bendera sayap bersenjata gerakan Islam Hamas, Briged Al-Qassam, manakala sepanduk Hamas dikibar dari salah satu serambi kawasan itu.

Aboud Hassan, 62, bertolak awal pagi Jumaat dari bandar Nablus, Tebing Barat utara.

“Ramadan adalah bulan paling penting dalam setahun, dan tidak ada yang penting bagi saya kecuali Al-Aqsa,” katanya.

“Tiada siapa boleh halang kami solat di Al-Aqsa, alhamdulillah. Solat hari ini berjalan dengan lancar dan tanpa sebarang masalah, alhamdulillah.”

Ebtissam Barrak, 26, berkata “hampir semua jalan” di kawasan itu terhalang.

“Sudah tentu kami takut berlakunya ketegangan tetapi kami berharap Ramadan akan aman… dan umat Islam akan dapat memasuki Al-Aqsa untuk bersolat tanpa sebarang masalah antara Yahudi dan Arab,” tambahnya.

Minggu lalu Hamas memberi amaran kepada Israel ia akan bertindak balas terhadap sebarang “pelanggaran” di perkarangan itu semasa Ramadan.

Sebarang percubaan Israel untuk “mengenakan” dasarnya pada Ramadan akan disambut dengan “reaksi rakyat kami”, kata kenyataan yang dikaitkan dengan Saleh al-Aruri, timbalan ketua biro politik kumpulan yang berpangkalan di Gaza itu.

Sejak awal tahun, konflik Israel-Palestin meragut nyawa 87 orang dewasa dan kanak-kanak Palestin, termasuk pejuang dan orang awam. – AFP, 25 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen