Exco Terengganu tertanya-tanya wang ehsan diumumkan Anwar


Diyana Ibrahim

Pada 2019, Terengganu menerima wang tunai petroleum berjumlah RM1.277 bilion sewaktu pentadbiran perdana menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Mac 2023.

KERAJAAN negeri masih tidak jelas dengan kaedah pengagihan wang ehsan secara terus kepada rakyat Terengganu yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023.

Exco Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kerajaan negeri difahamkan pembayaran wang ehsan dari kerajaan pusat akan disalurkan pada hujung bulan ini.

Namun maklumat mengenai jumlah peruntukan dan perincian mengenai pelaksanaan peruntukan tersebut masih belum diterima oleh kerajaan negeri, kata beliau.

Tambahnya, mereka masih tertanya-tanya sama ada kerajaan negeri akan terlibat dengan agihan sebahagian wang ehsan yang diumumkan untuk golongan miskin itu.

Mereka belum jelas sekiranya peruntukan itu akan disalurkan sepenuhnya melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

“Kita masih belum dapat apa-apa maklumat perincian pelaksanaan wang ehsan ini. Jumlahnya pun kita tidak tahu berapa.

“Dan adakah sebahagian wang ehsan itu memang terus diberikan kepada kerajaan negeri ataupun sepenuhnya dibawah JPP,” kata exco pembangunan belia, sukan dan NGO itu.

Dalam pembentangan bulan lalu, Anwar yang juga menteri kewangan berkata akan sebahagian wang ehsan itu akan disalurkan dalam program membasmi kemiskinan di Kelantan dan Terengganu.

Bagaimanapun Anwar tidak menyatakan jumlah peruntukan program itu termasuk wang ehsan yang diberikan kepada kerajaan negeri.

Pemberian wang ehsan itu menjadi ganti kepada wang royalti yang tidak diberikan oleh kerajaan pusat dan Petronas kepada kedua-dua negeri tersebut.

Bayaran itu dibuat atas alasan medan pengeluaran minyak terletak di luar tiga batu nautika dari garis air surut wilayah Kelantan dan Terengganu.

Amalan menyalurkan bayaran wang ehsan melalui JPP dibuat ketika PAS menguasai Terengganu pada 2004.

Bagaimanapun pada April 2008, menteri besar ketika itu Ahmad Said meminta kerajaan pusat menyerahkan kembali peruntukan wang ehsan itu disalurkan terus kepada kerajaan negeri.

Pada 2019, kerajaan Terengganu menerima wang tunai petroleum berjumlah RM1.277 bilion sewaktu pentadbiran perdana menteri ketujuh Dr Mahathir Mohamad.

Bayaran itu bagi memenuhi manifesto yang dijanjikan Pakatan Harapan semasa kempen PRU14.

Pemberian wang ehsan secara terus kepada kerajaan negeri turut dilaksanakan bawah pentadbiran perdana menteri kelapan. Muhyiddin Yassin, sewaktu PAS menyertai kerajaan persekutuan.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berkata hasil pemberian wang ehsan itu banyak digunakan dalam program bawah kerajaan negeri termasuk program bantuan rakyat.

Exco ini juga tertanya-tanya jumlah yang terlibat dan sama ada ia akan menjejaskan program bantuan sedia ada kerajaan negeri.

Seorang lagi exco Terengganu Hanafiah Mat berkata beliau masih belum tahu memandangkan mereka masih belum menerima bayaran daripada kerajaan pusat

“Kena tunggu bayaran dari kerajaan pusat baru kita boleh beri kenyataan,” katanya. – 25 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen