MENTERI Dalam Negeri Mexico Alfonso Navarrete semalam mengatakan wujud “petanda bahaya” kartel dadah cuba mempengaruhi pilihan raya umum negara itu.
Mexico akan memilih presiden baru, Kongres dan pegawai negara serta tempatan pada 1 Julai depan, tempoh yang dianggap merbahaya dalam negara di mana kartel dadah bernilai berbilion dolar berkuasa.
“Ada petanda bahaya di sesetengah kawasan negara ini,” kata Navarrete ketika menjawab soalan wartawan tentang laporan calon yang menerima tekanan organisasi jenayah terancang.
Beliau memberikan contoh bandar Chilapa, di negeri Guerrero di mana dua calon kerajaan negeri dibunuh bulan lepas.
“Wujud cubaan untuk menekan calon…supaya mendekatkan diri mereka dengan kumpulan jenayah tertentu,” kata Navarrete.
“Kami tak akan biarkan ini berlaku.”
Dua calon utama presiden, Ricardo Anaya daripada parti konservatif Parti Tindakan Nasional (Pan) dan Jose Antonio Meade daripada parti pemerintah, Parti Revolusi Institusi (PRI) memberi amaran wujudnya cubaan kartel dadah untuk mempengaruhi pilihan raya.
Tetapi calon paling dikenali, veteran berhaluan kiri Andres Manuel Lopez Obrador mengatakan beliau tidak nampak wujudnya campur tangan kumpulan penjenayah terancang.
Lopez mencadangkan pengampunan kepada jenayah dadah sebagai cara menghentikan keganasan dadah di Mexico yang seringkali disalahkan kepada kartel dadah- walaupun cadangan itu tidak jelas sama ada melibatkan jenayah kecil dadah atau tokan dan pengedar utama dadah juga.
Mexico adalah negara berbahaya kepada politikus.
Menurut Persatuan Datuk Bandar Nasional, lebih 100 datuk bandar, bekas datuk bandar dan calon datuk bandar dibunuh oleh penjenayah sejak 2006, tahun kerajaan mengisytiharkan perang ke atas kartel dadah.
Pembunuhan terbaru berlaku Jumaat lalu apabila calon datuk bandar negeri Puebla, Gustavo Martin Gomez Alvarez ditembak mati.
Kejadian itu berlaku beberapa jam selepas Setiausaha Agung Organisasi Negera Amerika, Luis Almagro memberi amaran yang keganasan politik di Mexico sudah mencapai “tahap tidak boleh diterima” menjelang pilihan raya umum Julai ini. – AFP, 17 Mac, 2018.
Komen