Bekas CEO Astro sudah pulang AS$10 juta, aset terkait 1MDB, kata laporan


Bekas CEO Astro Malaysia Holdings Berhad Rohana Rozhan serah wang tunai dan aset tersebut kepada kerajaan Malaysia tahun lepas, lapor Utusan Malaysia. – Gambar Facebook, 24 Mac 2023.

BEKAS ke­tua pegawai eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad Rohana Rozhan sudah pun memulangkan wang AS$10 juta (RM44.3 juta) dan aset yang dikaitkan de­ngan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapor Utusan Malaysia.

Laporan memetik sumber itu menyebut Rohana, yang juga bekas teman wanita pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner, menyerahkan wang tunai dan aset tersebut kepada kerajaan Malaysia tahun lepas.

Penyerahan wang dan set itu juga bermakna siasatan membabitkan Rohana berkaitan dana 1MDB selesai, kata laporan itu.

“Beliau (Rohana) sudah pulangkan semua wang dan aset yang berkenaan kepada SPRM yang kemudian di­salurkan kepada kerajaan.

“Pihak SPRM sudah selesai dan setakat ini tidak ada apa-apa lagi yang diperlukan berhubung dana 1MDB daripada Rohana,” kata sumber seperti dipetik Utusan.

Semasa perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat pada Februari tahun lalu Leissner memberitahu Mahkamah New York beliau memberi Rohana AS$10 juta untuk membeli sebuah sebuah rumah bernilai AS$7 juta di Montpelier Street, London.

Leissner memberitahu mahkamah Rohana mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dengan 1MDB.

Pada Mac tahun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata Rohana disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Amla), dan harta wanita itu di London serta aset lain dibekukan. – 24 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen