Transgender dilarang bertanding olahraga acara wanita


Presiden Olahraga Dunia Sebastian Coe berkata individu transgender tidak lagi dibenarkan bersaing dalam acara trek dan padang acara wanita. – Gambar AFP, 24 Mac, 2023.

INDIVIDU transgender tidak lagi dibenarkan bersaing dalam acara trek dan padang tanpa mengira tahap “testosterone” mereka, kata Presiden Olahraga Dunia Sebastian Coe sambil berkata keputusan itu lebih adil.

Coe berkata tiada atlet transgender yang melalui akil baligh selaku lelaki dibenarkan bersaing dalam kejohanan ranking dunia wanita bermula 31 Mac.

Bercakap selepas mesyuarat badan induk itu, Coe berkata Olahraga Dunia sudah berbincang dengan pemegang taruh termasuk 40 persekutuan kebangsaan, Jawatankuasa Olimpik dan kumpulan trans membabitkan atlet transgender.

“Majoriti daripada mereka berkata atlet transgender tidak sepatutnya bersaing dalam kategori wanita.

“Ramai percaya kurangnya bukti kukuh wanita trans tiada kelebihan berbanding wanita semulajadi dan mahukan lebih bukti sebarang kelebihan fizikal sudah diperbaiki sebelum mereka bersedia untuk mempertimbangkan pilihan dimasukkan ke dalam kategori wanita.”

Tambahnya: “Keputusan yang kami ambil, saya percaya, terbaik untuk sukan kita.”

Beliau berkata kumpulan kerja yang diketuai transgender akan dibentuk bagi memantau dengan lebih lanjut pembangunan secara saintifik.

“Kami tidak berkata ‘tidak’ selamanya,” kata Coe.

Olahraga Dunia mengikut jejak langkah FINA yang juga badan induk renang dunia, menyekat perenang transgender yang asalnya lelaki bersaing dalam perlumbaan elit wanita.

Ragbi Dunia pada 2020, menjadi persekutuan sukan pertama menetapkan transgender “lelaki kepada wanita” tidak boleh bersaing pada tahap elit dan antarabangsa dalam acara wanita. – AFP, 24 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen