CRISTIANO Ronaldo memecahkan rekod penampilan antarabangsa awal pagi tadi dan menandakan saat itu dengan menjaringkan dua gol ketika Portugal menang 4-0 mengatasi Liechtenstein pada kelayakan Euro 2024.
Pemain berusia 38 tahun itu yang diketepikan daripada kesebelasan utama Portugal pada Piala Dunia Qatar tahun lalu, mencipta kaps ke-197 buat negaranya di Lisbon sebagai pemain kesebelasan utama.
Dia meledak penalti pada minit ke-51 selepas gol awal Joao Cancelo dan Bernardo Silva sebelum sekali lagi menemui gawang hasil sepakan percuma 12 minit kemudian.
Ia rekod jaringan ke-120 Ronaldo buat negaranya dan menjadikan dia pemain lelaki pertama meledak dalam 100 kejohanan antarabangsa kompetitif.
“Rekod adalah motivasi saya,” kata Ronaldo kepada wartawan semalam.
Ronaldo membuat penampilan antarabangsa pertama pada 2003 dan menjadi pemain pertama menjaringkan gol dalam lima Piala Dunia tahun lalu sebelum Portugal tewas kepada Maghribi pada suku akhir.
Beliau kini bermain untuk kelab Arab Saudi, Al Nassr selepas penamat yang tidak manis bersama Manchester United.
Penampilan Ronaldo yang masuk dari bangku simpanan ketika tewas kepada Maghribi menyamai rekod 196 kaps milik pemain Kuwait, Bader Al-Mutawa.
Beliau meninggalkan padang dengan tangisan selepas kekalahan mengejut 1-0 Portugal berdepan negara Afrika Utara itu.
Sejak meninggalkan Eropah, Ronaldo memberikan sembilan gol dalam 10 aksi bersama Al Nassr. – AP, 24 Mac, 2023.
Komen