Tambang bas sekolah masih kekal, kata pengusaha


Kalidevi Mogan Kumarappa

Kebanyakan ibu bapa tidak membantah kadar kenaikan yang munasabah kerana mereka juga memahami kos sara hidup yang semakin meningkat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Mac, 2023.

TAMBANG bas sekolah masih kekal pada harga yang sama di kebanyakan lokasi pada sesi persekolahan baru ini, menurut Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia.

Presidennya Amali Munif Rahmat berkata harga itu kekal meskipun Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) membenarkan pengusaha menaikkan tambang mulai sesi persekolahan baharu.

“Memang wujud kemungkinan mulai Mac 2023, tambang bas sekolah dinaikkan antara RM5 hingga RM10 tetapi ia bergantung kepada perbincangan antara pengusaha dan ibu bapa.

“Saya sendiri masih mengekalkan tambang lama iaitu RM80 seorang dan rata-rata kebanyakan pengusaha mengekalkan tambang lama,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa tidak membantah kadar kenaikan yang munasabah kerana mereka juga memahami kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Kadar tambang semasa bergantung kepada lokasi kerana di kawasan Petaling Jaya di Selangor sahaja mempunyai empat kadar berlainan.

“Di Damansara Heights, kadarnya adalah sekitar RM150 seorang tetapi di Kampung Sungai Ayu Ara, kadarnya adalah RM80 hingga RM120 seorang,” katanya.

Menurutnya, kos yang ditanggung pengusaha bas sekolah semakin tinggi antaranya kerana harga alat ganti meningkat hampir 100% dan pengusaha juga perlu menaikkan gaji pemandu.

“Jika tambang setiap murid dinaikkan RM10 dan diandaikan terdapat 100 murid, tambahan hasil sebanyak RM1,000 dijangkakan dapat menampung peningkatan kos yang berlaku,” katanya.

Seorang ibu Suhaila Saleh, 37, berkata beliau bersyukur kerana tambang bas sekolah masih kekal bagi empat orang anaknya yang bersekolah di Cheras.

“Sejak anak-anak mula bersekolah, saya membayar RM320 iaitu RM80 untuk seorang. Jika tambang naik lagi itu memang satu beban untuk saya yang merupakan penjawat awam,” katanya.

Seorang lagi ibu di kawasan Damansara, S Shamundeswari, 41, berkata memang ada perbincangan antara pengusaha bas sekolah dan ibu bapa untuk menaikkan tambang.

“Pengusaha bas sekolah bercadang menaikkan tambang sebanyak RM10 seorang, saya ada tiga orang anak dan jika tambang naik lagi, memang saya tidak mampu.

“Nasib pengusaha faham dan mengekalkan harga yang sama,” katanya.

Di Butterworth, Pulau Pinang, seorang pekerja swasta, Suraya Husin berkata, ketika ini, dia mengeluarkan kos tambang bas sekolah sebanyak RM500 sebulan untuk tiga anaknya.

Katanya pengusaha memaklumkan tambang akan dinaikkan antara RM50 hingga RM100 seorang berkuatkuasa Mac namun harga itu masih kekal buat sementara waktu.

Ia menyusuli pengumuman Apad pada Januari yang membenarkan kenaikan tambang bermula bulan ini.

“Memang kami kena hadap juga dengan kadar tambang baru itu nanti meskipun ketika ini saya sudah rasa terbeban apabila terpaksa membayar RM500 sebulan.

“Kami terpaksa terima hakikat dan tiada pilihan lain,” kata Suraya, 39. – 24 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen