Semua tuduhan terhadap Adam Radlan dibicara bersama di Mahkamah Sesyen KL


KESEMUA lima pertuduhan rasuah yang dihadapi ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan Program Jana Wibawa akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi pihak pendakwaan akan memohon untuk memindahkan dua kes yang dihadapi ahli perniagaan itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.

Beliau berkata kes Adam Radlan di Shah Alam akan disebut pada 14 April ini.

Adam Radlan, 42, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut itu menghadapi lima pertuduhan iaitu tiga di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam.

Di Kuala Lumpur, Adam Radlan didakwa di dua Mahkamah Sesyen pada 21 dan 28 Februari lepas melibatkan dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM2 juta.

Sementara itu di Shah Alam, pada 22 Februari lepas dia didakwa dengan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Peguam Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan tidak membantah pemindahan tersebut.

Semasa sebutan kes hari ini Maziah turut memaklumkan pihak pendakwaan menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan perbicaraan kepada pembelaan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 51(a) Kanun Tatacara Jenayah.

Azura kemudian menetapkan tarikh sebutan selanjutnya pada 29 Mei ini untuk serahan dokumen yang lain. – Bernama, 23 Mac, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen