KEMENTERIAN Kewangan memandang serius terhadap tuduhan bahawa bekas menterinya Lim Guan Eng membatalkan status pengecualian cukai Yayasan Albukhary dan akan membuat laporan polis atas dakwaan palsu itu.
Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini berkata perkara itu sudahpun dijelaskan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan pada sidang Dewan Rakyat kelmarin.
Katanya, Anwar ketika menjelaskan hal itu juga menegaskan Yayasan Albukhary diluluskan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan sebagai institusi yang ditubuhkan bukan untuk tujuan mencari keuntungan, namun semata-mata ditubuhkan bagi maksud amal.
“Kementerian Kewangan, sama ada melalui bekas menteri kewangan dan/atau pegawai-pegawainya, tidak membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan pengecualian cukai yang telah diberikan kepada Yayasan Albukhary.
“Kementerian Kewangan memandang serius tuduhan ini dan laporan polis akan dibuat atas dakwaan palsu ini,” kenyataan itu dipetik.
Pada sidang Dewan Rakyat kelmarin Anwar mengesahkan Lim tidak pernah membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary semasa ahli Parlimen Bagan itu menjawat menteri kewangan.
“Kerajaan mengesahkan dari rekod Kementerian Kewangan bahawa Yang Berhormat Bagan semasa menjawat menteri kewangan tidak pernah membuat sebarang pembatalan kepada kelulusan percukaian yang didakwa diberikan kepada Yayasan Albukhary.
“Maka dakwaan yang dibuat bahawa beliau membatalkan pengecualian adalah tidak benar kerana hakikatnya kelulusan hanya dibuat pada 25 Februari 2021 iaitu kelulusan pengecualian cukai yang di luar kebiasaan yang melibatkan kedua-dua Yayasan Albukahry dan Kumpulan Albukary,” kata perdana menteri.
Anwar selain itu berkata kuasa pengecualian cukai adalah kuasa mutlak ketua pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri, bukan menteri kewangan atau perdana menteri.
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu mendakwa Lim, ketika itu menteri kewangan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, membatalkan pengecualian pembayaran cukai yang diluluskan untuk Yayasan Albukhary.
Semalam, Lim membuat laporan polis terhadap Muhyiddn, menggesa presiden Bersatu itu disiasat kerana melakukan fitnah dan mengapi-apikan sentimen perkauman.
Katanya, laporan yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi itu dibuat atas kenyataan yang disebut tiga kali oleh perdana menteri kelapan itu.
“Muhyiddin mengulangi fitnahnya terhadap saya dalam satu kenyataan media pada 11 Mac dan satu sidang akhbar pada 12 Mac.
“Sehingga sekarang Muhyiddin gagal sama sekali untuk menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaannya, khususnya surat arahan saya yang membatalkan pengecualian cukai tersebut,” katanya kepada pemberita.
Lim berkata fitnah itu mengapi-apikan sentimen kaum dan boleh mengancam keselamatan negara kerana menuduh beliau membalatkan pengecualian cukai ke atas sebuah pertubuhan Islam.
Beliau seterusnya mengulangi tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan membatalkan pengecualian cukai Yayasan Albukhary. – 23 Mac 2023.
Komen