Hakim baharu dengar bicara kes ubah wang haram, elak cukai Rosmah


Rosmah Mansor berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN

PERBICARAAN kes Rosmah Mansor bagi pertuduhan pengubahan wang haram RM7 juta dan pengelakan cukai akan didengar di hadapan hakim baharu, lapor New Straits Times.

Peguam Geethan Ram Vincent yang mewakili Rosmah dipetik sebagai berkata Hakim Mahkamah Tinggi Muniandy Kannyappan akan menggantikan Hakim Mohamed Zaini Mazlan yang dinaikkan pangkat menjadi hakim Mahkamah Rayuan.

Geethan juga berkata perbicaraan dijadualkan bermula 12 Mei. Pendakwaan akan memanggil 13 saksi untuk memberi keterangan, katanya.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu didakwa melakukan kesalahan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang, Kuala Lumpur antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017; dan pejabat LHDN di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di Kuala Lumpur antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Pada 1 September 2022, Hakim Zaini ketika itu hakim Mahkamah Tinggi memutuskan Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Beliau turut memerintahkan Rosmah, 70 dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda tersebut, namun membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Suaminya, Najib sedang menjalani hukuman 12 tahun serta denda RM210 juta selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. – 23 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen