Fifa tarik balik sekatan antarabangsa sukan ke atas Iraq


Iraq dilarang menganjurkan perlawanan antarabangsa bola sepak oleh Fifa sejak 1990 apabila negara itu menyerang Kuwait. Semalam, badan dunia bola sepak itu membenarkan perlawanan bola sepak antarabangsa di adakan di Arbil, Basra dan Karbala. – Gambar AFP, 17 Mac, 2018.

FIFA menarik balik sekatan tiga dekad lamanya dikenakan ke atas Iraq untuk menganjurkan kejohanan bola sepak antarabangsa semalam dengan tiga bandar- Arbil, Basra dan Karbala- diberikan kebenaran menganjurkan pertandingan rasmi.

“Kami membenarkan perlawanan antarabangsa diadakan di bandar Arbil, Basra dan Karbala,” kata Presiden Fifa Gianni Infantino kepada wartawan selepas mesyuarat Majlis Fifa di Bogota.

Tiga bandar itu dibenarkan menganjurkan perlawanan persahabatan tahun lepas sekiranya situasi keselamatan “stabil”.

Iraq akan menjadi tuan rumah perlawanan persahabatan dengan Qatar dan Syria bermula 21 Mac depan di Basra.

“Fifa sudah memberikan lampu hijau untuk perlawanan itu tetapi penganjur kejohanan perlu membuat keputusan akhir,” tambah Infantino.

Fifa mengatakan mereka masih tidak boleh bersetuju dengan permintaan pihak berkuasa Iraq untuk mengadakan perlawanan di Baghad tetapi Infantino berjanji permohonan itu akan sentiasa dinilai.

Bertahun lamanya, Iraq sibuk membina stadium dan mendesak badan penyelia sukan dan bintang sukan antarabangsa membantu mereka kembali ke arena sukan dunia.

Keputusan semalam susulan perlawanan antarabangsa antara Iraq dan Arab Saudi di Basra pada 28 Februari lalu, perlawanan pertama antara kedua negara dalam tempoh 40 tahun di Iraq.

Ia ditonton oleh Ketua Konfederasi Bola Sepak Asia Salman bin Ibrahim Al-Khalifa yang mengatakan “masanya sudah tiba” untuk menamatkan sekatan tiga dekad itu.

Iraw tidak menjadi tuan rumah pertandingan antarabangsa sejak negara itu menyerang Kuwait pada 1990.

Sekatan itu meliputi semua pertandingan antarabangsa terus kekal selepas pencerobohan AS pada 2003 untuk menjatuhkan diktator Saddam Hussein.

Ia kemudiannya dibatalkan seketika pada 2012 sebelum masalah bekalan elektrik ketika pertemuan Iraq-Jordan di Arbil menyebabkan Fifa menguatkuasakannya semula. – AFP, 17 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen