Tiada petunjuk Korea Utara akan guna senjata nuklear


Penyelaras NSC John Kirby berkata tiada petunjuk Korea Utara mungkin menggunakan senjata nuklearnya untuk menyerang AS. – Gambar AFP, 23 Mac, 2023.

TIADA petunjuk Korea Utara mungkin menggunakan senjata nuklearnya untuk menyerang Amerika Syarikat (AS) atau sekutunya dalam tempoh terdekat, menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS.

John Kirby yang juga penyelaras NSC bagi komunikasi strategik berkata demikian susulan membuat kenyataan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bahawa tentera negara itu akan melakukan “serangan balas nuklear segera” jika perlu.

“Tidak ada tanda atau maklumat pada masa ini yang mendorong kami untuk percaya Korea Utara akan melakukan beberapa jenis serangan.

“Kami akan memantau rapat keadaan dengan sebaik mugkin,” katanya ketika ditanya sama ada Korea Utara mungkin sedang bersiap sedia untuk melakukan serangan nuklear, lapor Agensi Berita Yonhap.

Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat pada Ahad yang menurut media kerajaan sebagai simulasi serangan balas nuklear taktikal.

Sejak tahun lepas, Pyongyang dilihat konsisten memperhebat retorik nuklearnya selepas menggubal undang-undang baharu yang membenarkan penggunaan senjata nuklear sebagai pencegahan terhadap Korea Selatan dan AS.

Kirby berkata AS terus komited untuk melibatkan diri dengan Korea Utara, tetapi akan terus meningkatkan keupayaan pertahanannya di tengah-tengah kebuntuan untuk mengadakan dialog dengan Pyongyang.

“Kami menggesa Kim supaya duduk berbincang bersama AS tanpa prasyarat. Kami bersedia untuk bercakap mengenai mengurangkan ketegangan dan pelucutan nuklear di semenanjung.

“Kim tidak menerima tawaran itu dan kami akan terus memastikan keupayaan ketenteraan tersedia jika diperlukan,” kata Kirby.

Kali terakhir Korea Utara mengadakan rundingan pelucutan senjata nuklear dengan AS pada 2019. – Bernama, 23 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen