Presiden Senegal Macky Sall semalam mengarahkan kerajaan supaya mengambil tindakan segera bagi menjaga ketenteraman awam susulan protes terhadap perbicaraan ahli politik pembangkang Ousmane Sonko yang menyebabkan seorang maut.
Keganasan tercetus di beberapa bandar sejak perbicaraan fitnah yang dihadapi Sonko bermula pada 16 Mac, kes yang boleh membuatkan beliau tidak layak untuk bertanding dalam pilihan raya presiden tahun depan.
Seorang lelaki maut pada hari Selasa semasa pertempuran antara penyokong Sonko dan polis, menurut pegawai tempatan.
Presiden Sall dalam satu kenyataan rasmi berkata kerajaan harus mengambil semua tindakan yang wajar untuk memastikan keselamatan orang ramai dan harta benda.
Sonko sedang dibicarakan atas tuduhan memfitnah Menteri Pelancongan Mame Mbaye Niang, seorang ahli parti Presiden Sall. – AFP, 23 Mac 2023.
Komen