Polis buru pelajar tembak 2 kakitangan sekolah


POLIS memburu seorang pelajar yang melarikan diri selepas menembak dua kakitangan sekolah di Colorado semalam, dalam kes terbaru keganasan senjata api dalam sektor pendidikan di Amerika Syarikat (AS).

Suspek dikenali sebagai Austin Lyle, 17, ketika kejadian sedang diperiksa badannya untuk mengesan sama ada membawa senjata, apabila secara tiba-tiba mengeluarkan pistol dan mula menembak, kata polis.

Ketua Polis Denver Ron Thomas berkata kira-kira jam 9.50 pagi (waktu tempatan), polis menerima satu panggilan telefon mengenai tembakan di Sekolah Menengah Timur.

“Pegawai polis dan pasukan perubatan tiba di tempat kejadian secepat mungkin dan menemui dua lelaki dewasa cedera ditembak.

“Seorang mangsa adalah pentadbir sekolah, kedua-duanya dikejarkan ke hospital, di mana seorang dalam keadaan kritikal,” katanya.

Thomas berkata, Lyle tertakluk kepada perjanjian di mana dia akan diperiksa badan setiap hari apabila tiba di sekolah berkenaan bagi memastikan dia tidak membawa senjata, berdasarkan perangai dan perbuatannya sebelum ini.

Jabatan Polis Denver di Twitter berkata mereka mengambil langkah luar biasa itu untuk mengenal pasti remaja terbabit melakukan jenayah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam.

Lyle, seorang remaja lelaki berkulit hitam, kali terakhir dilihat memakai hoodie hijau. – AFP, 23 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen