China pasaran utama Kemboja, negara Asean lain, kata PM kemboja 


Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen berkata Kemboja dan seluruh Asean memperoleh keuntungan daripada pasaran China. – Gambar AFP, 22 Mac, 2023.

CHINA merupakan pasaran utama bagi Kemboja dan anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) yang lain, kata Perdana Menteri Kemboja Samdech Techo Hun Sen di Phnom Penh pada Rabu.

Kemboja dan seluruh Asean memperoleh keuntungan daripada pasaran China melalui Perjanjian Perdagangan Bebas Kemboja-China (CCFTA), Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA), dan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), kata perdana menteri.

“China merupakan pasaran utama yang telah memberi banyak faedah kepada semua negara Asean,” katanya dalam ucapan semasa menghadiri majlis graduasi 4,700 pelajar Institut Vanda di Phnom Penh.

Hun Sen berkata Kemboja dan negara Asean lain juga menjangkakan kemasukan pelancong China yang besar selepas ekonomi kedua terbesar dunia itu mengoptimumkan strategi anti-Covid-19 dan membuka  pintu sempadannya awal tahun ini.

Joseph Matthews, seorang profesor kanan di Universiti Antarabangsa BELTEI di Phnom Penh, berkata China telah menjadi rakan perdagangan terbesar Asean selama lebih sedekad dan hubungan China-Asean telah membawa kepada pembangunan ekonomi, sosial, teknologi dan infrastruktur kepada wilayah.

“Masa depan ekonomi Asean dikaitkan dengan prospek dan pertumbuhan ekonomi China,” katanya kepada Xinhua. 

“China akan kekal sebagai penyumbang utama pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran Asean dalam era pasca pandemik Covid-19.”

Asean terdiri daripada Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. – Bernama, 22 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen