Kes Trump, New York tingkat langkah keselamatan


Kelibat beberapa individu yang menyokong mahupun menentang Donald Trump dilihat di Collect Pond Park bertentangan Mahkamah Jenayah Manhattan dan di Menara Trump di Midtown. – Gambar AFP, 22 Mac, 2023.

PENGUATKUASA undang-undang di New York City mempertingkatkan langkah keselamatan di kawasan tumpuan selepas bekas presiden Amerika Syarikat Donald Trump baru-baru ini menjangkakan penahanan beliau pada Selasa dan menyeru penyokongnya mengadakan protes.

Jabatan Polis New York melakukan sekatan termasuk mengerahkan anggotanya di sekitar Mahkamah Jenayah Manhattan dan Pejabat Peguam Daerah Manhattan di Lower Manhattan serta di Menara Trump di Fifth Avenue di Midtown, lapor Xinhua.

Setakat ini, New York City lengang walaupun ramai wakil media berkumpul di lokasi terbabit.

Tiada laporan dikeluarkan Pejabat Peguam Daerah Manhattan mengenai dakwaan Trump setakat petang semalam.

Pejabat Peguam Daerah Manhattan sedang menyiasat sama ada Trump memalsukan rekod perniagaan berkaitan dakwaan pembayaran yang dibuat kepada seorang wanita ketika kempen presiden 2016, menurut laporan media.

Pejabat Peguam Daerah Manhattan enggan mengesahkan atau mengulas sama ada Trump akan didakwa.

Kelibat beberapa individu yang menyokong mahupun menentang Trump dilihat di Collect Pond Park bertentangan dengan Mahkamah Jenayah Manhattan dan di Menara Trump di Midtown semalam.

Kelab Republikan Muda New York mengadakan perhimpunan pada Isnin dan dihadiri kira-kira 100 peserta. – Bernama, 22 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen