California bayar AS$750,000 selepas polis lukis lambang swastika


TORRANCE, sebuah bandar yang terletak kira-kira 30km di selatan Los Angeles, California, membayar AS$750,000 selepas dua pegawai polis didakwa mengecat swastika di dalam kereta suspek tiga tahun lepas.

Menurut laporan Fox News pada Selasa, pembayaran itu menyelesaikan tuntutan mahkamah persekutuan yang difailkan oleh Kiley Swaine, yang menemukan lukisan swastika di tempat duduk belakang keretanya selepas dia dan dua lelaki lain ditahan kerana disyaki mencuri mel pada Januari 2020.

Swaine kemudiannya dibebaskan daripada pertuduhan itu.

Peguam Swaine, Jerry Steering berkata dua pegawai polis Torrance, Christopher Tomsic dan Cody Weldin, didakwa mengecat lambang swastika di tempat duduk kereta Swaine sebelum kenderaan itu ditarik.

Walaupun Swaine melaporkan vandalisme itu dua hari selepas kejadian, namun beliau tidak mengetahui tentang kes terhadap pegawai tersebut sehingga Oktober 2021 selepas Peguam Daerah Daerah Los Angeles mengumumkan pertuduhan itu.

Kedua-dua anggota polis berkenaan yang dilaporkan telah meletakkan jawatan itu mengaku tidak bersalah sementara menunggu perbicaraan atas tuduhan konspirasi dan vandalisme.

Aduan Swaine juga mendorong penyiasatan yang mendedahkan skandal dalam pasukan polis, lapor Xinhua.

“Penyiasatan terhadap Tomsic dan Weldin mendorong pihak pendakwa untuk menggeledah telefon pegawai yang menemukan pertukaran teks dalam kalangan lebih sedozen pegawai yang mengandungi komen perkauman, antisemitik dan homofobia,” kata Steering di laman sesawang rasmi pejabat undang-undangnya.

Steering dalam satu kenyataan pada Isnin berkata beliau tidak pernah melihat perkara seperti ini apabila orang yang diamanahkan oleh rakyat untuk melindungi kita daripada penjenayah berbahaya sebenarnya lebih berbahaya daripada penjenayah.

Sementara itu, pejabat Peguam Daerah Daerah Los Angeles dijangka memutuskan sama ada dua bekas pegawai polis Torrance itu patut didakwa terhadap pertuduhan menembak mati seorang suspek pada Disember 2018. – Bernama, 22 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen