MENTERI Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Abdul Karim Hamzah berkata beliau malu dengan umat Islam – seperti aktivis dan ahli politik Badrul Hisham Shaharin – yang nampaknya tidak yakin dengan keimanan orang lain.
“Jangan beritahu saya orang Islam sangat rendah iman mereka (sehingga apabila) anda membawa mereka ke gereja, mereka mahu menukar agama,” kata Karim membela program “Jom Ziarah Gereja” Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
“Sebagai orang Islam, saya berasa malu dengan pihak yang membuat dakwaan sedemikian. Ia tidak semudah itu,” kata Karim, menganggap Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard, dan mereka yang lain sebagai “bodoh” kerana mempunyai pemikiran cetek sebegitu.
Beliau juga menuduh Badrul menggunakan agama untuk kesempatan politik.
Ketika bercakap kepada pemberita di Kuching hari ini, Karim berkata terdapat banyak kes di mana umat Islam, termasuk dirinya, pernah bersekolah di sekolah mubaligh tetapi tidak pernah meninggalkan kepercayaan mereka.
“Saya adalah produk sekolah mubaligh.”
Karim bersekolah di sekolah St Joseph yang dikendalikan oleh Katolik di Kuching dan juga mengambil pelajaran Bible sebagai mata pelajaran untuk peperiksaan Senior Cambridge, sebelum SPM.
Beliau berkata tahun-tahun yang dihabiskan di sekolah itu tidak menjadikannya kurang Islam.
“Ia tidak menyebabkan saya murtad dan tidak pula meninggalkan Islam.”
Sebaliknya, beliau berkata ia membuatkannya lebih memahami kepercayaan orang lain. – 22 Mac, 2023.
Berita penuh di sini
Komen