2 maut akibat gempa bumi di Pakistan


Orang ramai berkumpul di jalan raya di Islamabad, Pakistan semalam susulan gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter melanda timur laut Afghanistan. – Gambar AFP, 22 Mac, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA dua terbunuh di Pakistan manakala enam lagi cedera selepas gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter melanda timur laut Afghanistan, lapor media Pakistan.

Gempa bumi itu direkodkan pada 4.47 petang waktu tempatan di pergunungan Hindu Kush yang sebahagian besarnya terletak di Afghanistan, menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC).

Pusat gempa dikesan 38km (23 batu) tenggara kampung Jurm di wilayah Badakhshan Afghanistan dengan kedalaman 191km.

Gegaran turut dirasai di beberapa negara jiran. Di wilayah Khyber Pakhtunkhwa di Pakistan beberapa rumah rosak dan membunuh sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan yang lain, lapor akhbar Dawn.

Kementerian Kecemasan Afghanistan pula berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat mengenai mangsa atau kemusnahan di negara itu.

India khususnya New Delhi, turut merasai gegaran itu, menurut media tempatan.

Ahli seismologi Kazakhstan berkata penduduk di selatan negara itu merasakan gegaran manakala pihak berkuasa Uzbekistan turut mengesahkan gegaran di negaranya.

Pihak berkuasa Tajikistan melaporkan bahawa gempa bumi berukuran 5 pada skala Richter melanda negara itu berikutan gempa di Afghanistan. – Bernama, 22 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen