Dr Mahathir masih relevan dengan perjuangan Melayu, kata ahli sekretariat


Diyana Ibrahim

Beberapa anggota Sekretariat Proklamasi Orang Melayu menyifatkan Dr Mahathir Mohamad masih lagi berpengaruh dan relevan dalam perjuangan kaum Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mac, 2023.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad masih lagi berpengaruh dan relevan dalam perjuangan kaum Melayu, kata beberapa anggota Sekretariat Proklamasi Orang Melayu.

Atas sebab itu, Dr Mahathir, 97, paling layak untuk menjadi penasihat kepada gerakan kumpulan membela hak orang Melayu itu, yang proklamasinya diumumkan pada sidang media pada Ahad lepas.

Sidang media itu diadakan selepas perhimpunan yang dirancang pada hujung minggu itu terpaksa dibatalkan selepas empat pemilik premis menarik balik kebenaran tempahan pihak sekretariat.

Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Marzuki Yahya berkata bekas perdana menteri dua kali itu ikhlas dan jujur memperjuangkan nasib orang Melayu, dan masa depan negara.

“Dalam perjuangan sebuah bangsa ia tidak ada had. Yang penting keikhlasan dan kejujuran yang dibawa Dr Mahathir.

“Bagi kami beliau adalah penasihat dan banyak tunjuk ajar diberikan oleh beliau untuk jayakan perjuangan ini.

“Pengaruhnya masih ada,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bekas timbalan presiden Pejuang itu juga hairan dengan tanggapan Dr Mahathir tidak lagi relevan sedangkan pandangan dan idea bekas perdana menteri masih diterima baik di luar negara dan sambutan terhadapnya luar biasa.

Beliau memberi contoh jemputan kepada Dr Mahathir untuk menghadiri sebuah forum di Jepun baru-baru ini.

“Negara luar lebih pandai menilai Dr Mahathir daripada negara sendiri.Seperti baharu ini beliau dijemput menghadiri forum di Jepun.

“Ini bukan sekali tapi tiap tahun beliau dijemput. Kalau Dr Mahathir ini tidak relevan saya rasa tak adalah negara luar mahu panggil beliau,” katanya.

Persepsi

Jelas Marzuki, relevan atau tidaknya Dr Mahathir hanyalah persepsi yang sengaja ditimbulkan oleh musuh politiknya.

Seorang lagi anggota sekretariat Mahdzir Ibrahim menjelaskan sambutan kepada Dr Mahathir di peringkat antarabangsa menunjukkan pengiktirafan terhadapnya sebagai seorang negarawan.

“Dr Mahathir itu boleh kita anggap sebuah institusi, yang merentas parti politik, merentas negara dan bangsa. Itu hubung kaitnya antara kedudukan beliau di peringkat antarabangsa dan dalam negara,” tambahnya.

Mahdzir yang juga timbalan ketua penerangan GTA mengingatkan selama jadi pemimpin, Dr Mahathir konsisten bercakap tentang perjuangan orang Melayu, malah sampai ke hari ini.

“Dr Mahathir meninggalkan Umno dan melawan parti itu kerana mahu orang Melayu ada sebuah wadah politik yang betul-betul memperjuangkan nasib mereka, yang bermaruah dan bersih,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Dr Mahathir seorang negarawan yang ada idea dan semangat memperjuangan kestabilan ekonomi dan politik.

“Dalam konteks Malaysia, kestabilan itu dipertahankan apabila majoriti rakyat iaitu orang Melayu dilindungi…barulah negara akan stabil.

“Kalau rakyat yang majoriti terabai, akan ada ekonomi yang tidak seimbang dalam kalangan rakyat.

“Itu yang negarawan fikirkan,” tambahnya.

Mahdzir juga menepis dakwaan Dr Mahathir hanya dikelilingi oleh kelompok yang kalah pilihan raya dan ditolak oleh rakyat serta mereka yang bergantung pada ketokohannya.

“Kita jujur saja dalam hal ini. Anak muda dan professional tidak sedia menunjukkan sokongan mereka secara terbuka kerana mereka ditekan. Ada ahli akademik yang diugut sekiranya hadir di acara bersama Dr Mahathir.

“Kita faham. Kita tidak mahu mereka memperjudikan kerjaya dan masa depan mereka,” katanya.

Bukan idea Dr Mahathir

Seorang lagi anggota seketariat, Khairuddin Abu Hassan menegaskan idea menubuhkan gerakan itu bukan cetusan Dr Mahathir.

Ia hasil usaha pelbagai pihak termasuk tokoh, pertubuhan dan individu yang mahu orang Melayu ada platform untuk memperjuangan nasib dan hak mereka.

Beliau menegaskan peranan Dr Mahathir hanya sebagai penasihat sementara urusan gerakan bawah tanggungjawab sekretariat.

“Semangat Dr Mahathir kepada nasib orang Melayu amat kuat. Kita tak boleh pisahkan Dr Mahathir dengan orang Melayu kerana bukan baru tapi berpuluh tahun beliau bercakap mengenai perjuangan orang Melayu,” katanya.

Khairuddin menolak tanggapan sekretariat itu perlukan Dr Mahathir kerana mereka tidak boleh berdiri sendiri tanpa bekas perdana menteri.

“Apabila kita turun jumpa akar umbi kita tak pernah sebut pun Dr Mahathir sebab beliau anggota sekretariat.

“Orang Melayu beri sokongan padu bukan kerana penglibatannya tapi mereka nak tengok apa yang kita perkatakan dan perjuangkan…, itu hakikatnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Gagasan Bangsa Aminuddin Yahaya yang juga anggota sekretariat berkata kekalahan kelompok mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 adalah isu yang berbeza.

“Kita bercakap soal perjuangan orang Melayu yang tidak ada batas masa atau musim.

“Hakikat yang kita dihalang untuk berhimpun maksudnya pengaruh kami masih ada sehingga menimbulkan kerisauan,” katanya.

Aminuddin tidak menolak kemungkinan untuk sekretariat ini bekerjasama dengan kerajaan atas isu-isu melibatkan kepentingan orang Melayu.

“Kalau kata kerajaan sekarang betul membela hak orang Melayu kita akan sokong tapi setakat ini kita tak nampak begitu,” katanya. – 22 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen