TUJUH anggota tentera Amerika Syarikat terbunuh selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas ketika melakukan penerbangan rutin di barat Iraq, menurut pegawai pertahanan AS pada Jumaat.
“Ia merupakan rutin pengangkutan tentera biasa dari Iraq ke Syria, tiada apa yang luar biasa,” menurut pengawai berkenaan.
“Tujuh anggota berada dalam penerbangan itu—kesemua mereka dipercayai terbunuh.”
Seorang lagi pegawai menyatakan empat yang terbunuh dalam kejadian pada Khamis itu merupakan anggota tentera udara negara berkenaan.
Menurut kenyataan Pentagon, nahas itu membabitkan helikopter Sikorsky HH-60 Pave Hawk dan ia tiada kaitan dengan aktiviti musuh.
Kejadian itu dilaporkan oleh helikopter pengiring yang turut melakukan misi rutin yang sama dan tindakan pantas daripada pasukan keselamatan Iraq dan pakatan tentera yang diketuai AS berjaya ke lokasi.
“Tragedi ini mengingatkan kita kepada risiko yang dihadapi oleh anggota kita setiap hari dalam khidmat mereka kepada negara. Kami memikirkan orang tersayang mereka yang terkorban ini,” kata Brigedier Jenerel Jonathan Braga.
“Kami berterima kasih kepada pasukan keselamatan Iraq yang bertindak pantas memberi bantuan terhadap kejadian tragis ini.”
Identiti kesemua mangsa akan didedahkan sebaik sahaja waris dimaklumkan berhubung tragedi itu.– AFP, 16 Mac, 2018.
Komen