.jpg)
DUNIA dikejutkan dengan kematian Stephen Hawking, seorang genius, seorang profesor, ahli matematik, saintis dan ahli teoretikal fizik kelahiran Oxford, England.
Dinobatkan sebagai Lucasian Profesor Matematik, satu gelaran yang pernah dipegang oleh Sir Isaac Newton, ternyata Hawking sebagai “Newton kedua” mempunyai satu kelainan intelektual di mana beliau mampu untuk berdiri dengan sendirinya walaupun tidak berkeupayaan dari segi fizikal.
Sumbangan beliau dalam dunia sains amatlah besar dan akan sentiasa menjadi rujukan umum dari semasa ke semasa.
Ini dibuktikan apabila laman sesawang perpustakaan di Universiti Cambridge memecah rekod apabila tesis PhD Hawking yang disiapkan pada 1965 dimuat turun lebih ratusan ribu kali.
Tesis PhD yang berjudul “Properties of Expanding Universes” itu berjaya menarik minat pembaca serata dunia. Fenomena ini malah diakui oleh ahli akademik di Cambridge apabila mereka tidak pernah melihat angka yang sangat tinggi berkaitan dengan jumlah akses kepada tesis tersebut.
Pada 1988 pula, Hawking menerbitkan sebuah buku berjudul “A Brief History of Time”. Buku tersebut dijual lebih 10 juta naskhah. Kisah hidup genius itu juga pernah dirakamkan dalam sebuah filem bertajuk “The Theory of Everything” pada 2014.
Hasil kajian Hawking juga kerap kali diulas (article/book review) oleh ahli akademik serata dunia dalam jurnal akademik yang berimpak tinggi.
Pada tahun 2010, Hawking mengeluarkan kenyataan yang “falsafah telah mati” dan ini membangkitkan satu perdebatan yang hangat dalam kalangan ahli akademik.
Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk membincangkan keperibadian Hawking dan sumbangannya dalam bidang sains secara terperinci tetapi untuk melihat kelunakan gelagat beliau dalam rangka pemikiran politik yang tidak tertumpu kepada arus semasa.
Kelunakan politik pemikiran
Pada pilihan raya umum 2015 di United Kingdom (UK), Hawking menyatakan dengan terang-terangan yang beliau akan mengundi pembangkang iaitu Parti Buruh (Labour Party).
Beliau juga menyatakan pendiriannya yang Ketua Pembangkang, Ed Miliband adalah calon yang sesuai untuk jawatan perdana menteri.
Hawking juga menyatakan pendiriannya untuk mengundi Daniel Zeichner, calon Parti Buruh yang mewakili kerusi Parlimen Cambridge.
Kecenderungan politik Hawking itu dizahirkan apabila beliau melihat Parti Buruh sebagai parti yang mampu untuk membawa arus perubahan terutama sekali dalam bidang sains.
Mengejutkan lagi, beliau juga konsisten berkempen untuk mengekalkan UK dalam rangka Kesatuan Eropah (EU) dan berhujah Brexit akan mengakibatkan satu malapetaka terhadap pendanaan sains.

Dari aspek dasar, Hawking dilihat agak “keras” sedikit apabila mengkritik dasar penswastaan National Health Service (NHS). Beliau percaya NHS adalah perkhidmatan kesihatan yang terbaik di UK dan beliau khuatir penswastaan NHS mungkin akan menyebabkan institusi itu lebih berorientasikan keuntungan semata-mata berbanding menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai tanpa mengira kelas.
Berkenaan NHS, beliau pernah berkongsikan satu pengalaman tentang peranan yang dimainkan oleh NHS yang pernah menyelamatkan nyawanya suatu ketika dahulu.
Pada 2017, Stephen Hawking telah mengeluarkan satu teori yang dipanggil “The Theory of NHS”. Teori itu kemudian diterbitkan oleh Journal of the Royal Society of Medicine.
Artikel tersebut adalah transkrip syarahan Hawking di Royal Society of Medicine pada 19 Ogos 2017, yang menceritakan dengan lebih terperinci pengalamannnya bersama NHS.
Oleh itu, polisi kerajaan pemerintah terhadap NHS sedikit sebanyak memberikan kesan kepada Hawking sama ada secara langsung ataupun tidak.
Walaupun tidak menganggotai mana-mana parti politik, beliau kekal dengan pendirian untuk memberikan pandangan politik atas kapasiti beliau sebagai seorang ahli akademik walaupun dilihat ada sedikit kecenderungan kepada Parti Buruh.
Hawking juga dengan berani pernah menyatakan bantahan terhadap isu pendudukan Israel ke atas Palestin. Beliau memposisikan tindakan Israel itu sebagai tidak berperikemanusiaan.
Beliau mengangkat hak asasi kemanusiaan tanpa mengira latar belakang keagamaan. Pada 2004 beliau pernah mengkritik perang Iraq dengan mengatakan yang perang tersebut adalah berdasarkan penipuan.
Pendemokrasian di Malaysia
Ironinya, jika Hawking seorang warganegara Malaysia, pemikiran politik beliau mungkin akan memberikan impak terhadapnya kerana kedudukan beliau sebagai seorang ahli akademik dalam konteks sistem politik Malaysia.
Pendemokrasian di Malaysia adalah bersyarat dan boleh dikatakan memberi kesan yang kritikal terhadap modal sosial yang semakin terhakis di kalangan rakyat. Seumpamanya apabila mata wang demokrasi dalam konteks tempatan itu dibelanjakan dengan “boros” sekali dan tidak mempunyai simpanan tetap.
Tafsiran demokrasi itu ternyata berbeza mengikut kaca mata segelintir pihak dan demi untuk mencapainya, rakyat perlu membayar dengan harga sangat mahal.
Apabila Hawking menyatakan pendirian politiknya dengan memberikan sokongan kepada Parti Buruh, ia menggambarkan pemerintah UK meraikan pandangan tersebut tanpa berbelah bahagi dan tidak mengenakan sebarang sekatan yang berbau politik terhadapnya.
Tidak pernah pula kedengaran Hawking disingkirkan oleh Universiti Cambridge atau gelaran profesor beliau ditarik berdasarkan kenyataan umum beliau. Malah Universiti Cambridge kekal sebagai salah sebuah universiti terbaik di dunia.
Yang paling mengejutkan apabila beliau dianugerahkan “Lifetime Achievement Award” oleh kerajaan pemerintah demi mengiktiraf sumbangan beliau dalam dunia ilmu.
Penulisan ini juga ingin mewujudkan satu andaian, jika Stephen Hawking berlatar belakangkan disiplin sains sosial, sudah tentu pandangannya terhadap pemerintah akan jauh lebih kritis dan berirama.
Apabila parti pemerintah berjaya untuk mewujudkan satu persekitaran demokrasi yang membantu, nescaya modal sosial yang positif antara rakyat dan institusi akan terhasil dengan sendirinya dan satu bentuk kerjasama yang erat akan terjalin dan ruang awam itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh rakyat.
Sejauh mana kita bersedia untuk berhadapan dengan kerangka pemikiran seperti Hawking di Malaysia? – 17 Mac, 2018.
* Dr Ariff Aizuddin Azlan seorang penganalisis politik tempatan.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen