PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk Yeol pada Selasa berkata hubungan dua hala antara Korea Selatan dan Jepun perlu bergerak ke hadapan dan kedua-dua negara melupakan sejarah silam.
Hubungan kedua-dua negara perlu bergerak ke hadapan yang sekali gus dapat mewujudkan situasi sama-sama menang, kata Yoon dalam mesyuarat Kabinet, lapor Agensi Berita Yonhap.
Yoon sebelum ini menerima kritikan daripada rakyat Korea Selatan susulan sidang kemuncak dengan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida yang diadakan baru-baru ini.
Pembangkang utama Parti Demokrat (DP) dan pengkritik lain mengecam Yoon kerana mendakwa beliau mengorbankan kepentingan nasional Korea Selatan selepas kerajaan memutuskan untuk membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa Jepun pada masa perang tanpa meminta sumbangan Jepun.
DP juga mendakwa Yoon ada membuat konsesi dengan Jepun tetapi tidak didedahkan.
Media Jepun melaporkan kedua-dua pemimpin itu turut membincangkan isu pulau Dokdo yang terletak di Korea Selatan, hamba seksual Jepun semasa perang dan larangan import produk perikanan dari Fukushima Jepun.
Yoon meminta rakyat memahami tentang keputusan kerajaan untuk menyelesaikan isu buruh paksa.
Beliau berkata keputusan itu merupakan “pelan kompromi” perjanjian 1965 yang menormalkan hubungan dua hala dengan Jepun dan keputusan 2018 oleh mahkamah tertinggi Korea Selatan yang mengarahkan firma Jepun membayar pampasan kepada mangsa buruh paksa semasa perang.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengubati keperitan yang dihadapi mangsa dan keluarga yang ditinggalkan,” kata Yoon.
Walaupun Kishida tidak secara langsung memohon maaf pada sidang kemuncak dengan Yoon, presiden itu berkata: “Jepun telah menyatakan kekesalannya dan memohon maaf.” – Bernama, 21 Mac 2023.
Komen