PRESIDEN China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Russia Vladimir Putin di Kremlin sejurus tiba di Moscow semalam.
Xi berkata beliau berbesar hati untuk mengadakan lawatan ke Russia sekali lagi atas jemputan Putin dan Russia adalah negara pertama yang beliau lawati selepas dipilih sebagai presiden 10 tahun lalu.
Beliau turut menyatakan penghargaan atas mesej tahniah Putin selepas dipilih semula sebagai presiden China.
China dan Russia menjalinkan perkongsian strategik yang komprehensif dan kedua-dua negara memberikan keutamaan dalam diplomasi dan dasar hal ehwal luar, kata beliau, lapor Xinhua.
Beliau berkata China sentiasa menegakkan dasar luar yang bebas dan membuat pilihan strategik bagi menyatukan dan membangunkan hubungan China-Russia dengan baik berdasarkan kepentingan asasnya sendiri dan trend semasa dunia.
Menurut Xi kedua-dua negara harus memperdalam lagi kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang dan mengukuhkan penyelarasan dan kerjasama dalam platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi merangsang pembangunan negara selain menjadi benteng keamanan dan kestabilan dunia.
Sementara itu, Putin berkata dalam tempoh 10 tahun lepas China mencapai kejayaan yang mengagumkan dan hebat dalam semua bidang pembangunan hasil kepimpinan cemerlang Xi dan membuktikan kekuatan sistem politik dan sistem tadbir urus negara China.
Beliau yakin di bawah kepimpinan Xi, China pasti akan terus membangun dan makmur serta berjaya merealisasikan semua matlamat utama yang dirancang.
Russia bersedia untuk terus memperdalam kerjasama praktikal dua hala, meningkatkan komunikasi dan kerjasama dalam hal ehwal antarabangsa dan mempromosi dunia pelbagai polariti dan demokrasi yang lebih besar dalam hubungan antarabangsa, katanya.
Kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu Ukraine.
Xi berkata kebanyakan negara menyokong usaha untuk meredakan ketegangan dan rundingan damai memandangkan sejarah menunjukkan konflik boleh diselesaikan menerusi dialog dan rundingan.
China mengeluarkan dokumen mengenai kedudukannya mengenai krisis Ukraine, menyokong penyelesaian politik krisis dan menolak mentaliti Perang Dingin dan sekatan unilateral, kata Xi.
China percaya semakin banyak kesukaran yang dihadapi, semakin besar keperluan untuk mengekalkan ruang untuk keamanan dan untuk itu China akan terus memainkan peranan yang membina dalam mempromosi penyelesaian politik isu Ukraine.
Putin berkata Russia menghargai China yang konsisten menegakkan kedudukannya yang tidak berat sebelah, objektif dan seimbang serta sentiasa menegakkan keadilan dalam isu utama antarabangsa.
Kedua-dua presiden berkata mereka menantikan rundingan rasmi untuk merangka pelan tindakan baharu bagi perkongsian strategik komprehensif China-Russia untuk penyelarasan pada tahun akan datang. – Bernama, 21 Mac, 2023.
Komen