RIBUAN rakyat Brazil mengadakan tunjuk perasaan jalanan di beberapa bandar besar pada malam Khamis bagi membantah pembunuhan kejam seorang anggota majlis bandaraya wanita Rio de Janeiro yang popular.
Marielle Franco, aktivis hak asasi manusia dan wanita, terbunuh bersama-sama pemandunya, Anderson Pedro Gomes, pada malam Rabu di pusat bandar Rio, lapor agensi berita China Xinhua.
Kereta Franco terkena sekurang-kurangnya sembilan tembakan selepas beliau pulang dari satu majlis pemerkasaan wanita.
Pembantunya terselamat dalam insiden tembakan itu dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Pembunuhan itu berlaku beberapa minggu selepas kerajaan Brazil memutuskan untuk membiarkan pihak tentera mengambil alih semua operasi keselamatan di Rio bagi menangani kadar jenayah yang semakin meningkat di bandar itu.
Franco mengkritik keputusan itu dan menyifatkannya sebagai satu langkah yang akan memburukkan lagi keganasan polis terhadap penduduk.
Di Rio, sekumpulan besar orang berarak ke bangunan Parlimen bagi membantah pembunuhan Franco, yang dilahir dan dibesarkan di kawasan setinggan Mare, antara daerah paling ganas di bandar itu.
Penganjur menganggarkan lebih 50,000 orang mengambil bahagian dalam perarakan di Rio.
Tunjuk perasaan turut diadakan di beberapa ibu negeri lain, termasuk San Paulo.
Pembunuhan Franco, yang menerima jumlah undi kelima tertinggi pada pilihan raya majlis bandaraya itu pada 2016, mencetuskan kemarahan orang ramai dalam rangkaian media sosial.
Kumpulan hak asasi manusia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menzahirkan ucapan takziah dan menggesa satu siasatan menyeluruh dilakukan.
Amnesty International dan pejabat PBB di Brazil memuji tindakan Franco memperjuangkan hak asasi manusia serta pendirian anti perkauman beliau dan meminta satu siasatan yang pantas dan telus dilakukan terhadap pembunuhan itu. – Bernama, 16 Mac, 2018.
Komen