Biden luluskan RUU dedah maklumat asal-usul Covid


Presiden Joe Biden menandatangani RUU yang membolehkan maklumat risikan berkenaan kemungkinan kaitan antara wabak pandemik Covid-19 dan makmal di Wuhan, China, didedahkan. – Gambar AFP, 21 Mac, 2023.

PRESIDEN Joe Biden semalam menandatangani rang undang-undang (RUU) yang membolehkan maklumat risikan berkenaan kemungkinan kaitan antara wabak pandemik Covid-19 dan makmal di Wuhan, China, didedahkan.

“Kita perlu tahu di mana asal-usul Covid-19, termasuk potensi kaitannya dengan Institut Virologi Wuhan.

“Dalam melaksanakan undang-undang ini, pentadbiran saya akan mengubah status kerahsiaan dan berkongsi sebanyak mungkin maklumat yang ada,” katanya.

“Saya setuju dengan matlamat Kongres untuk mendedahkan semua maklumat tentang asal-usul Covid.”

Biden berkata pada 2021, selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan, beliau mengarahkan Komuniti Risikan untuk menggunakan segala cara untuk melakukan siasatan.

Kerja siasatan masih berterusan dan maklumat sebanyak mungkin akan didedahkan tanpa menjejaskan keselamatan negara, katanya.

RUU itu membawa risiko politik kepada Biden, yang sedang mengadakan rundingan dengan pemimpin China Xi Jinping.

Beijing berulang kali menolak kemungkinan berlaku kebocoran ketika penyelidikan dijalankan di makmal Wuhan yang boleh menyebabkan pandemik dunia.

Pandemik Covid-19 bermula pada 2019 di Wuhan, membawa kepada hampir tujuh juta kematian di seluruh dunia setakat ini, dengan lebih sejuta daripadanya di AS.

Tetapi pihak berkuasa kesihatan dan komuniti risikan AS masih tidak boleh memastikan ia tersebar secara rawak kepada manusia daripada haiwan yang dijangkiti atau wabak itu terbocor ketika penyelidikan dijalankan di Wuhan.

Jabatan tenaga AS – antara agensi yang menyiasat pandemik itu – membuat kesimpulan dengan “keyakinan rendah” virus itu mungkin dari makmal terbabit, senada dengan penilaian dijalankan FBI, tetapi ada kesimpulan mereka yang bercanggah dengan agensi lain. – AFP, 21 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen