3 disabitkan bersalah bunuh penyanyi rap di AS


Peminat meletak bunga dan potret penyanyi rap XXXTentacion pada upacara pengebumiannya pada 2018. – Gambar AFP, 21 Mac, 2023.

PANEL juri di Florida semalam mensabitkan tiga lelaki bersalah atas tuduhan menembak mati seorang penyanyi rap yang dikenali dengan nama XXXTentacion pada 2018.

Penyanyi itu nama sebenarnya Jahseh Onfroy  berusia 20 tahun ketika ditembak pada waktu siang di Deerfield Beach, Miami.

XXXTentacion terkenal apabila lagunya menjuarai carta album pada 2018 tetapi kejayaannya diselubungi kontroversi kerana beliau terbabit melakukan keganasan. Beliau sedang menunggu untuk dibicarakan atas tuduhan memukul bekas teman wanitanya yang ketika itu hamil.

Juri di mahkamah Fort Lauderdale mendapati tiga defendan bersalah atas tuduhan membunuh dan melakukan rompakan bersenjata.

Tiga defendan itu ialah Dedrick Williams, 26; Trayvon Newsome, 24; dan Michael Boatwright, 28.

Pada 18 Jun, 2018, sebuah kenderaan pacuan empat roda memotong kereta XXXTentacion dan dua lelaki keluar dan menembak mangsa. Mereka turut mencuri sebuah beg yang berisi wang tunai AS$50,000 sebelum melarikan diri. – AFP, 21 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen