Tragedi feri karam di Gabon, 26 mati


Waris dan keluarga membawa gambar mangsa yang masih hilang di kawasan pelabuhan ketika operasi mencari dan menyelamat insiden feri karam di Gabon masih dijalankan. – Gambar AFP, 21 Mac, 2023.

JUMLAH kematian insiden sebuah feri karam di pantai Gabon bulan lalu kini meningkat kepada 26 selepas dua lagi mayat ditemui semalam, kata pihak berkuasa.

Jumlah itu dikemaskini selepas 11 hari feri yang membawa 161 penumpang dan anak kapal dari Libreville ke bandar Port-Gentil karam kira-kira 10km dari pantai.

Seramai 11 mangsa masih hilang, kata pendakwa raya.

Menteri pengangkutan Gabon meletak jawatan susulan tragedi itu dan 33 individu ditahan untuk siasatan jenayah.

Antara yang ditahan adalah pegawai di kementerian pengangkutan, pedagang marin dan pemilik kapal itu, Royal Cost Marine.

Operasi mencari yang diteruskan membawa penemuan dua lagi mayat lelaki semalam, kata pendakwa raya Andre Patrick Roponat.

Sebelum itu dilaporkan 24 kematian dan 13 hilang.

Kebanyakan mangsa yang terselamat berkata mereka tidak menerima bantuan atau panduan yang secukupnya daripada anak kapal.

Ada mangsa yang terpaksa berpaut kepada rakit terapung berjam-jam lamanya sebelum diselamatkan. – AFP, 21 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen