SEKURANG-kurangnya 18 anggota Taliban terbunuh manakala 13 lagi cedera dalam pertempuran terbaharu di Afghanistan, lapor agensi berita China Xinhua memetik sumber pada Jumaat.
Di wilayah Kunduz, dua anggota militan Taliban terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam pertempuran di pusat pemeriksaan keselamatan di Joy-e-Begum dalam daerah Imam Sahib pada malam Khamis, kata gabenor daerah itu, Mahbub Sayyedi.
Pada Khamis, enam anggota militan Taliban maut manakala empat lagi cedera susulan serangan udara di daerah Kajaki dan Marja dalam wilayah Helmand, menurut Kementerian Pertahanan Afghanistan pada Jumaat.
Serangan udara itu turut memusnahkan enam makmal narkotik. Wilayah Helmand terkenal kerana penanaman pokok popi dan merupakan kubu kuat Taliban.
Di wilayah Farah, 10 anggota militan Taliban terbunuh manakala enam cedera selepas tentera Afghanistan melancarkan serangan udara ke atas daerah Bala Buluk pada Khamis, kata kementerian itu.– Bernama, 16 Mac, 2018.
Komen