PENGERUSI Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu Asyraf Wajdi Dusuki meminta agensi itu bersama syarikat perlaburannya Mara Corporation Sdn Bhd memperhalusi cadangan untuk menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi golongan berada.
Cadangan itu pernah dibangkitkan dan diteliti oleh kerajaan semasa pentadbiran Najib Razak tetapi tidak diteruskan oleh pentadbiran Pakatan Harapan yang menang pilihan raya umum 2018.
Asyraf berkata beliau menerima pandangan daripada banyak pihak yang mahu Mara memperkenalkan MRSM berbayar khusus untuk anak-anak golongan berpendapatan tinggi.
“Saya percaya, wujud permintaan oleh ibu bapa golongan ini yang mahu anak mereka memasuki sistem MRSM bahkan sanggup menanggung kosnya walaupun mereka berkemampuan menghantar ke sekolah-sekolah elit swasta antarabangsa.
“Ini kerana MRSM terbukti satu jenama yang sudah terpahat dalam minda masyarakat sebagai institusi pendidikan yang unik dan berkualiti tinggi.
“Justeru saya minta Mara dan Mara Corp untuk memperhalusi cadangan ini secara holistik bagi memenuhi segmen masyarakat seperti ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 2017, Ismail Sabri Yaakob sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas Mara pada masa itu menjelaskan kewujudan MRSM berbayar akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar miskin untuk ke institusi itu.
Ia sekali gus meletakkan semula MRSM ke landasan penubuhannya yang asal iaitu untuk memberi peluang pendidikan lebih baik kepada golongan berpendapatan rendah sebagai antara usaha strategik menyusun semula masyarakat.
Cadangan itu dikemukakan ketika hanya 45% pelajar daripada keluarga miskin atau berpendapatan kurang RM4,000 sebulan yang belajar di MRSM manakala bakinya daripada golongan pendapatan sederhana atau kaya.
Selepas menggantikan kerajaan Barisan Nasional pada Mei 2018, Rina Harun selaku menteri bertanggungjawab pada masa itu memberitahu Dewan Rakyat kerajaan Pakatan Harapan tidak berhasrat meneruskan cadangan tersebut.
Kerajaan PH sebaliknya mahu mengembalikan peranan sebenar MRSM iaitu peluang pendidikan kepada anak-anak daripada keluarga B40 dan M40 yang cemerlang, yang membayangkan kemungkinan tiada peluang untuk anak-anak golongan kaya masuk.
Pada masa ini, terdapat 55 MRSM di seluruh Malaysia termasuk tujuh di Sabah dan Sarawak.
Lapan daripadanya menawarkan kurikulum pendidikan Islam dan Bahasa Arab yang dikenali sebagai MRSM Ulul Albab sementara 12 pula menawarkan kurikulum Cambridge atau ICGSE.
Tiga MRSM pula menawarkan kurikulum International Baccalaureate dan sebuah iaitu di Bentong melaksanakan program teknikal.
Baki 28 MRSM yang dikenali sebagai premier berteraskan kurikulum kebangsaan dan kurikulum khas maktab itu.
Minggu lalu, dalam salah satu kenyataan dasarnya yang awal, Asyraf berkata semua 55 MRSM akan melaksanakan ko-kurikulum Ulul Albab secara bertahap termasuk mewajibkan pelajarnya menghafaz al-Quran. – 20 Mac, 2023.
Komen