XI Jinping dan Vladimir Putin pada Isnin memuji keteguhan pakatan mereka ketika pemimpin China itu menuju ke Moscow untuk sidang kemuncak dengan presiden Rusia.
Xi menyifatkan lawatannya ke negara itu sebagai “perjalanan persahabatan, kerjasama dan keamanan”, walaupun China telah dikritik oleh negara-negara Barat kerana apa yang mereka anggap sebagai sokongan tersirat dan perlindungan diplomatik untuk perang Rusia di Ukraine.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan Presiden Putin untuk bersama-sama menerima visi baharu” dalam hubungan, tulis Xi dalam artikel yang ditandatangani dan disiarkan akhbar Russian Gazette yang turut dibawakan oleh agensi berita negara China Xinhua.
China berusaha untuk menggambarkan dirinya sebagai pihak neutral dalam perang Ukraine, dan kementerian luar negerinya minggu lalu berkata Beijing akan “memainkan peranan yang membina dalam mempromosikan rundingan damai” antara Kyiv dan Moscow.
Putin mengalu-alukan tindakan Beijing ke atas Ukraine sebagai menunjukkan kesediaan untuk memainkan “peranan membina” dalam menamatkan konflik, sambil berkata hubungan China-Rusia berada “di titik tertinggi”.
Lawatan Xi juga dibuat hanya beberapa hari selepas Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap untuk Putin atas tuduhan jenayah perang menghantar pulang kanak-kanak Ukraine secara tidak sah.
Beijing berkata ICC harus mengelak apa yang dipanggil “politik dan berat sebelah”, dan menghormati imuniti untuk ketua negara.
Mahkamah harus “menegakkan pendirian objektif dan tidak berat sebelah” dan “menghormati kekebalan ketua negara daripada bidang kuasa di bawah undang-undang antarabangsa”, kata jurucakap kementerian luar Wang Wenbin pada satu taklimat.
Penyelesaian kepada konflik Ukraine, tambahnya, kekal sebagai “dialog dan rundingan”.
Baik China mahupun Rusia bukan penandatangan Statut Rom, yang menubuhkan ICC. – AFP, 20 Mac, 2023.
Komen