VIETNAM Airlines menyambung semula perkhidmatan dari Beijing ke Hanoi pada Ahad, sekali gus menandakan pemulihan perjalanan udara antara dua negara itu dalam tempoh tiga tahun, lapor Xinhua memetik laporan Agensi Berita Vietnam.
Penerbangan Vietnam Airlines VN513 membawa lebih 100 penumpang berlepas dari Beijing pada 15.30 waktu tempatan dan mendarat di Hanoi pada 17.55 waktu tempatan.
Perkhidmatan penerbangan sebelum ini digantung berikutan penularan wabak Covid-19 dan disambung semula pada 19 Mac, lapor Xinhua.
Vietnam Airlines mengendalikan tiga penerbangan setiap minggu antara Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital.
China ialah antara pasaran antarabangsa terbesar Vietnam Airlines.
Penyambungan semula perkhidmatan itu dijangka meningkatkan perjalanan perniagaan dan pelancongan di kedua-dua negara, lapor media tempatan.
Vietnam Airlines menyambung semula penerbangan ke China pada Disember tahun lepas apabila syarikat penerbangan itu mengendalikan penerbangan dari Ho Chi Minh City ke Guangzhou di selatan China. – Bernama, 20 Mac, 2023.
Komen