Eksport automotif Korea Selatan catat rekod tertinggi pada Februari


Eksport kereta Korea Selatan melonjak 47.1% berbanding tahun sebelumnya kepada AS$5.6 bilion pada Februari. – Gambar AFP, 20 Mac 2023.

EKSPORT automotif Korea Selatan mencecah rekod tertinggi pada Februari berikutan permintaan kukuh terhadap kenderaan mesra alam, menurut data kerajaan pada Isnin.

Eksport kereta melonjak 47.1% berbanding tahun sebelumnya kepada AS$5.6 bilion pada Februari, menurut Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga, lapor Xinhua.

Angka terkini menandakan penghantaran kereta tertinggi, terus berkembang untuk bulan ketujuh berturut-turut sejak Ogos tahun lalu.

Bilangan kenderaan yang dieksport ialah 222,934 pada Februari, meningkat 34.8% daripada tahun sebelumnya.

Eksport bagi kereta mesra alam melonjak 83.4% kepada AS$2.02 bilion dalam tempoh terbabit, manakala bilangan unit yang dieksport melonjak 61.6% kepada rekod tertinggi 63,000.

Bilangan kenderaan yang dikeluarkan di kilang tempatan meningkat 30.2% sepanjang tahun kepada 343,575 pada Februari berikutan gangguan bekalan semikonduktor berkurangan.

Bilangan kereta yang dijual di Korea Selatan, termasuk kenderaan buatan tempatan dan import ialah 147,031 pada Februari, meningkat 19.6% daripada tahun sebelumnya. – Bernama, 20 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen