Brunei rancang bina loji insinerator sisa untuk jana elektrik


Brunei bercadang membina loji insinerator sisa yang boleh memproses 800 hingga 1,000 tan sisa sehari untuk menjana tenaga elektrik. – Gambar fail Facebook, 20 Mac, 2023.

BRUNEI bercadang membina loji insinerator sisa yang boleh memproses 800 hingga 1,000 tan sisa sehari untuk menjana tenaga elektrik, kata Menteri Pembangunan Mohd Juanda ketika Mesyuarat Majlis Perundangan ke-19, lapor Xinhua.

Menurut media tempatan Borneo Bulletin, menteri itu berkata semasa membentangkan bajet tahunan kementeriannya pada mesyuarat Majlis Perundangan loji itu akan mencapai pengurusan sisa pepejal yang lebih berdaya tahan dan cekap.

“Masalah seperti bau dan larut resapan yang biasanya dikaitkan dengan tapak pelupusan sampah boleh dielakkan.

“Dengan penggabungan teknologi pengurusan sisa pepejal terkini, masalah pencemaran seperti pelepasan gas daripada insinerator dapat ditangani sebaik mungkin.

“Pendekatan ini juga memastikan pengurusan sisa yang lebih berkesan untuk 20 tahun akan datang,” katanya.

Tapak Pelupusan Kejuruteraan Sungai Paku Brunei yang meliputi 104 hektar dan menerima 90% sisa negara, dijangka mencapai had kapasitinya menjelang 2030. – Bernama, 20 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen