OPERASI memburu seorang pendakwah Sikh yang radikal di India kini masuk hari kedua, dengan pihak berkuasa menutup perkhidmatan Internet di seluruh Punjab dan menahan 112 penyokong lelaki terbabit.
Amritpal Singh mulai terkenal sejak beberapa bulan ini selepas mendesak penubuhan Khalistan, iaitu negara Sikh yang berasingan.
Beliau turut mengadakan himpunan Sikh di kawasan pedalaman di negeri utara itu yang mempunyai populasi 30 juta.
Bulan lalu, Amritpal, 30, dan penyokongnya yang bersenjatakan pedang, pisau dan pistol menyerbu sebuah balai polis selepas salah seorang orang kanannya ditahan kerana disyaki melakukan serangan dan cubaan menculik.
Serbuan pada siang hari di Amritsar – lokasi kuil Sikh yang dianggap paling suci iaitu Kuil Emas – menyebabkan beberapa anggota polis cedera dan mencetuskan tekanan kepada pihak berkuasa untuk bertindak terhadap Amritpal.
Susulan operasi bermula pada Sabtu, polis Punjab berkata 78 ditahan dalam misi mencari besar-besaran itu.
“Seramai 34 lagi ditahan. Sejumlah 112 individu ditahan setakat ini,” kata pihak berkuasa. – AFP, 20 Mac, 2023.
Komen