Colombia tamatkan gencatan senjata terhadap kartel dadah


Keganasan sering berlaku di Colombia membabitkan kartel dadah dan mereka turut menyerang orang awam. – Gambar AFP, 20 Mac, 2023.

PRESIDEN Gustavo Petro mengarahkan gencatan senjata Colombia terhadap kumpulan pengedaran dadah terbesar ditamatkan semalam, mendakwa kartel itu menyerang orang awam.

“Saya mengarakan pasukan keselamatan untuk meneruskan semula operasi ketenteraan terhadap Klan Teluk,” katanya di Twitter.

Kerajaan berkata kumpulan itu dalang kepada gangguan dan serangan terhadap orang ramai di Colombia sejak dua minggu lalu.

Sebelum tahun baharu, kerajaan Petro mengisytiharkan gencatan senjata dua pihak dengan sejumlah besar kumpulan bersenjata termasuk Klan Teluk, pemberontak Tentera Pembebasan Negara (ELN) dan bekas tentera gerila FARC.

Ia langkah pertama Petro untuk mengakhiri konflik bersenjata yang berlaku sejak berdekad lamanya, dengan pelan menerusi rundingan dengan kumpulan penjenayah.

Tetapi dasar itu berdepan masalah.

ELN menafikan ada menandatangani rundingan itu, sementara kerajaan mendakwa berlaku beberapa keganasan dalam kalangan FARC.

Kerajaan berkata Klan Teluk menyokong serangan dilakuan pelombong emas haram sejak 2 Mac lalu di Bajo Cauca.

Pekerja di lombong haram mengadakan protes terhadap tindakan kerajaan menghentikan penggunaan jentera berat untuk mengorek tanah bagi mencari emas.

Pelombong mengadakan protes dengan menyekat jalan raya, menyerang majlis perbandaran dan bank di daerah Caucasia.

Kumpulan penjenayah di Colombia mengaut banyak keuntungan daripada aktiviti perlombongan haram selain mengedar kokain, kata pihak berkuasa. – AFP, 20 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen