Dr Mahathir perlu henti main sentimen perkauman, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata adalah tidak wajar bagi seorang bekas perdana menteri memecahbelahkan rakyat dan menghasut sentimen perkauman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac 2023.

MENGECEWAKAN apabila Dr Mahathir Mohamad memecahbelahkan rakyat dan menghasut sentimen perkauman dengan kenyataan perkaumannya, Anthony Like hari ini.

Setiausaha Agung DAP itu berkata adalah tidak wajar bagi seorang bekas perdana menteri mengambil langkah politik sedemikian.

“Kita merasa amat dukacita dengan status beliau sebagai mantan PM (perdana menteri) dua kali dan pernah jadi PM bersama PH dan didukung PH pada 2018 apa yang dinyatakan dan dilakukan sekarang ini adalah sesuatu yang amat mendukacitakan semua.

“Sepatutnya beliau menggunakan pengaruh yang ada untuk membantu negara. Menarik lebih banyak pelaburan serta menarik lebih minat memajukan negara. Bukannya memainkan sentimen perkauman yang direka.

“Ia juga tidak selari dengan kedudukan beliau sebagai negarawan yang sepatutnya menyatupadukan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA) di Butterworth Arena hari ini.

Beliau juga berkata Dr Mahathir silap apabila berkata orang Melayu kehilangan kuasa politik di bawah kerajaan perpaduan.

“Tiada keadaan di mana orang Melayu semakin hilang kuasa.

“Seperti yang dinyatakan sebelum ini perdana menteri adalah orang Melayu, majoriti menteri Kabinet adalah orang Melayu, majoriti institusi dipegang oleh orang Melayu, malah ketua setiausaha kerajaan adalah orang Melayu.

“Apa yang dikatakan orang Melayu hilang kuasa adalah satu permainan lama oleh Dr Mahathir untuk menakut-nakutkan orang Melayu dan beliau juga berdepan dengan tuduhan sebegitu semasa beliau menjadi PM.

“Jadi apabila sekarang ada Kerajaan Perpaduan, sepatutnya beliau lebih memahami ini adalah permainan politik yang dilemparkan oleh pihak lawan terhadap kerajaan, jadi saya amat dukacita apabila beliau sendiri turut memainkan sentimen sedemikian sekarang,” katanya.

Dr Mahathir dijangka mengambil bahagian dalam perhimpunan Melayu hari ini tetapi acara itu dibatalkan di saat-saat akhir.

Minggu lalu beliau meragui kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan mengatakan ia tidak dapat melindungi orang Melayu. – 19 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen