Khaled kekal, Wan Rosdi, Johari muka baharu naib presiden Umno


Mohd Farhan Darwis

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berjaya mendapat undian terbanyak iaitu 117 bagi jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan kali ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mac 2023.

MENTERI Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Johari Abdul Ghani menjadi muka baharu sebagai antara naib presiden parti, dalam pemilihan parti yang berlangsung semalam.

Setakat 11 pagi tadi, penyandang jawatan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Johor Mohamed Khaled Nordin berjaya mengekalkan kedudukannya.

Daripada lapan calon yang bertanding, Wan Rosdy berjaya mendapat undian sebanyak 117 bahagian manakala Khaled mendapat undian kedua terbanyak iaitu 107, dan Johari pula mendapat 96 undian.

Penyandang jawatan itu Mahdzir Khalid bagaimanapun gagal mengekalkan kedudukannya apabila sekadar mendapat 34 undian.

Satu-satunya calon wanita, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi) Azalina Othman Said berada di kedudukan keempat dengan 64 undian diikuti Reezal Merican Naina Merican dengan 45 undian, manakala Hasni Mohammad mendapat 41 undian.

Seorang calon, Mohd Yusof Musa pula gagal mendapat sebarang undian.

Antara mereka yang menempah tempat sebagai antara 25 anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno termasuklah menteri dan timbalan menteri kerajaan antaranya Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Luar Zambry Abd Kadir.

Turut sama adalah Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Menteri Kerja Raya Abdul Rahman Mohamad. – 19 Mac 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen