Pelarian bantah dasar migrasi keras Greece


Penunjuk perasaan turut mengaitkan kematian pendatang di laut dan tragedi kereta api 28 Februari yang menyebabkan 57 maut dan menyalahkan kerajaan Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis. – Gambar Facebook, 19 Mac, 2023.

RATUSAN pelarian memprotes polisi migrasi Greece yang keras di Athens pada Sabtu, menuduh kerajaan konservatif “membunuh” pencari suaka melalui penolakan tanpa mengikut undang-undang. 

Beberapa penunjuk perasaan membawa papan tanda dengan tarikh bot pendatang karam di Laut Aegean.

Penunjuk perasaan lain mengaitkan kematian pendatang di laut dan tragedi kereta api 28 Februari yang menyebabkan 57 maut dan dipersalahkan kepada kerajaan Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis.

“Mitsotakis,darah di tangan anda—kanak-kanak mati di laut, kanak-kanak mati di dalam kereta api,” mereka melaungkan.

Sejak memegang jawatan empat tahun lalu, kerajaan konservatif Greece menguatkuasakan kawalan di sempadan darat dan lautnya dengan Turkiye dalam usaha membendung kedatangan tanpa izin.

Menteri polis Takis Theodorikakos minggu ini berkata kontrak untuk membina sambungan 35km yang dirancang untuk pagar keluli negara itu di sempadan dengan Turkiye akan ditandatangani beberapa hari lagi.

Dalam kejadian terbaharu di perairan Greece, seorang wanita dan lelaki maut pada awal Mac selepas bot laju dengan hampir 30 orang di dalamnya karam berhampiran pulau Kos.

Sebulan sebelum itu, seorang wanita dan lelaki lemas apabila perahu membawa 41 pencari suaka merempuh  pantai berbatu di pulau Lesbos.

Kesatuan Eropah (EU) berkata ia bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Kesatuan Afrika untuk menganjurkan pemulangan sukarela ke negara asal, dan bagi membawa pelarian ke kem sebelum ditempatkan semula di EU atau tempat lain.

Pada Januari, Ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata EU merancang untuk mengadakan perjanjian migrasi dengan negara seperti Bangladesh, Pakistan, Mesir, Maghribi, Tunisia dan Nigeria bagi meningkatkan jumlah yang dihantar pulang dan untuk mencegah cubaan mereka yang datang.

Greece menghantar pulang lebih 8,000 orang sejak dua tahun lalu dengan kerjasama Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi, kata Menteri Migrasi Notis Mitarachi minggu ini.

Kerajaan Greece secara konsisten menafikan tuduhan menolak, walaupun terdapat dakwaan sebaliknya daripada mangsa, kumpulan hak asasi manusia dan juga pelapor khas PBB berhubung hak pendatang.

“Di Greece, penolakan di sempadan darat dan laut menjadi dasar umum de facto,” kata pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia pendatang, Felipe Gonzalez Morales, tahun lalu. – AFP, 19 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen