Mahkamah Pakistan gugur waran tangkap Imran Khan


Imran Khan berdepan pelbagai kes mahkamah sejak digulingkan dalam usul undi tidak percaya tahun lalu dan mendesak kerajaan pakatan yang menggantikannya untuk mengadakan pilihan raya awal. – Gambar EPA, 19 Mac, 2023.

HAKIM Pakistan menggugurkan waran tangkap terhadap bekas perdana menteri Imran Khan pada Sabtu, kata peguamnya, selepas bekas bintang kriket itu, yang beberapa kali gagal menghadiri perbicaraan, muncul di mahkamah.

Pemimpin berusia 70 tahun itu berdepan pelbagai kes mahkamah sejak digulingkan dalam usul undi tidak percaya tahun lalu dan mendesak kerajaan pakatan yang menggantikannya untuk mengadakan pilihan raya awal.

Awal minggu ini penyokong Khan bertempur sengit dengan polis yang dihantar untuk menangkapnya di bandar timur Lahore selepas beliau gagal hadir di mahkamah atas tuduhan rasuah, meluahkan kebimbangan terhadap keselamatannya.

“Mahkamah membatalkan waran tangkap selepas mengesahkan kehadiran Imran Khan. Perbicaraan ditangguhkan sehingga 30 Mac,” kata seorang peguam Khan, Gohar Khan, kepada AFP.

Selepas beberapa hari perbalahan undang-undang, Khan menempun perjalanan lebih 300km dari Lahore ke kompleks mahkamah Islamabad, tetapi tidak dapat keluar dari kereta.

Kira-kira 4,000 penyokong mengerumuni kompleks itu, melontar batu dan membalingnya ke arah anggota polis yang membalasnya dengan gas pemedih mata.

Mahkamah bagaimanapun menerima kehadiran Khan, kata peguamnya.

Kes itu dibawa oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan yang menuduh Khan tidak mengisytiharkan hadiah diterima semasa menjadi perdana menteri, atau keuntungan diperoleh daripada menjualnya.

Mahkamah Pakistan sering digunakan untuk mengekang ahli Parlimen dalam prosiding panjang yang dikritik oleh pemantau hak kerana menyekat pembangkang politik.

Khan mendakwa pihak berkuasa mahu memasukkannya ke dalam penjara supaya beliau tidak dapat berkempen untuk pilihan raya akan datang.

Kira-kira 4,000 pegawai keselamatan termasuk komando polis elit, skuad anti-keganasan dan renjer separa tentera ditempatkan di sekitar Islamabad dengan hospital diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Polis dalam pada itu menyerbu kediamannya di kawasan kejiranan mewah Lahore selepas menyekat jalan berhampiran dan menangguhkan perkhidmatan bergerak di kawasan itu.

Ketika drama politik berlangsung, Pakistan berada dalam cengkaman kemelesetan ekonomi yang ketara, berisiko terjejas teruk jika bantuan tidak dapat diperoleh daripada Tabung Kewangan Antarabangsa.

Keadaan keselamatan juga semakin merosot dengan serangan bertubi-tubi ke atas polis, yang dikaitkan dengan Taliban Pakistan.

Tahun lalu Khan ditembak di kaki semasa perhimpunan politik, cubaan bunuh yang beliau dakwa melibatkan Perdana Menteri Shehbaz Sharif. – AFP, 19 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen