KANADA pada Sabtu mengambil langkah mempermudahkan urusan imigresen bagi warga Turkiye dan Syria yang berada di negara itu, sebulan selepas gempa bumi mengorbankan lebih 50,000 orang di kedua-dua negara.
Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud pada 6 Februari membunuh lebih 45,000 orang di Turkiye dan ribuan lagi di negara jiran Syria, dan memusnahkan ratusan ribu bangunan.
“Kanada komited memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas akibat gempa bumi dahsyat di Türkiye dan Syria,” kata Sean Fraser, menteri imigresen, pelarian dan kerakyatan.
Langkah baharu itu antaranya akan membolehkan pelarian dari negara tersebut memohon permit kerja yang membenarkan warga asing bekerja dengan mana-mana majikan bagi tempoh tertentu.
“Hari ini kami memperkenalkan langkah baharu yang memudahkan warga Turkiye dan Syria melanjutkan tempoh tinggal di Kanada dan bersama keluarga mereka, sambil terus bekerja dan belajar dalam persekitaran yang selamat,” tambah Fraser.
Pengumuman itu dibuat 10 hari selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa masyarakat antarabangsa mempercepatkan penempatan pelarian Syria dari kawasan yang terjejas akibat gempa bumi di Turkiye. – AFP, 19 Mac, 2023.
Komen