Wan Rosdy dahului saingan naib presiden Umno


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Umno Pahang itu memperolehi enam undi setakat pukul 4.30 petang tadi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Mac, 2023.

MENTERI Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail mendahului tujuh calon lain dalam persaingan merebut jawatan naib presiden Umno yang berlangsung hari ini.

Pengerusi Umno Pahang itu memperolehi enam undi setakat pukul 4.30 petang tadi, diikuti rapat penyandang Mohamed Khaled Nordin yang juga pengerusi Umno Johor dengan empat undi.

Jumlah itu diperolehi dari keputusan undian di 10 bahagian yang sudah dijumlahkan setakat petang ini, dari keseluruhan 189 bahagian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said yang memperolehi dua undi pula di tangga ketiga setakat ini,

Pengerusi perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Johari Abdul Ghani dan Rezal Merican Naina Merican masing-masing memperolehi dua undi.

Dua lagi pencabar Hasni Mohammad dan penyandang Mahdzir Khalid masing-masing memperolehi satu undi setakat petang ini.

Calon ketujuh Dr Mohd Yusof Musa pula masih belum mendapat sebarang undi.

Sembilan daripada 95 calon Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pula mendahului dengan lima undian antaranya termasuklah Tengku Zafrul Aziz; Shamsul Anuar Nasarah dan Ahmad Maslan.

Lapan calon lagi sudahpun menerima empat undi, masing-masing Bung Mokhtar Radin, Ahmad Said dan Isham Jalil.

Pengundian berlangsung di Umno bahagian masing-masing hari ini dan keputusannya akan dikumpulkan di ibu pejabat parti di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Dua bahagian Umno, Tanah Merah dan Kota Kinabalu yang digantung tidak mengadakan pemilihan pada hari ini manakala jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan. – 18 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen